PETUGAS kesihatan dijangkiti Covid-19 daripada pesakit yang tidak memaklumkan sepenuhnya latar belakang mereka pernah mempunyai kontak dengan orang yang dijangkiti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Semua 36 petugas kesihatan yang dijangkiti terkena jangkitan kerana pesakit tidak memaklumkan hospital bahawa mereka pernah ada kontak dengan orang yang positif Covid-19.
“Oleh itu, petugas kesihatan tidak mengenakan alat perlindungan peribadi semasa merawat mereka,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, memaklumkan perkembangan penularan Covid-19 di Malaysia.
Beliau menjelaskan tiada seorang pun petugas kesihatan yang positif Covid-19 terkena jangkitan kerana mengendalikan pesakit virus itu di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut Dr Noor Hisham, 67% atau 122 daripada 181 petugas kesihatan yang dijangkiti mendapat jangkitan itu di luar hospital.
“Dua petugas kesihatan yang meninggal dunia juga mempunyai sejarah perjalanan ke Turki dan Indonesia, dan ia tidak kena mengena dengan tempat kerja mereka.”
Dr Noor Hisham juga berkata kes jangkitan pertama melibatkan petugas kesihatan berlaku di sebuah hospital swasta.
Kementerian Kesihatan katanya sudah dua kali bermesyuarat, pada 1 dan 12 Mac, dengan pihak hospital swasta untuk mereka meningkatkan tatacara keselamatan.
Beliau juga memaklumkan petugas kesihatan di hospital awam menjalani ujian Covid-19 dari masa ke masa.
“Kita tidak tunggu mereka ada simptom sebelum jalankan ujian. Malah, kita sudah menjalankan lebih 20,000 ujian tetapi hanya 181 yang disahkan positif,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata dalam masa 24 jam lalu, 166 lagi kes positif Covid-19 berjaya dipulihkan di Malaysia, menjadikan keseluruhan 1,487 kes sembuh setakat ini.
Ini adalah kali kedua dalam minggu ini jumlah pesakit sembuh lebih tinggi daripada kes baharu iaitu 156 kes.
Katanya, 15 pesakit juga sudah dipindah keluar dari ICU.
Kes positif jangkitan pula mencecah 4,119 dengan 156 lagi kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam setakat tengah hari ini, katanya.
Ini menjadikan lebih kurang 4 dalam setiap 10 pesakit sudah sembuh.
Dalam tempoh sama, dua lagi kematian berlaku, kata Dr Noor Hisham.
Dalam pada itu, 76 pesakit masih berada di ICU dengan 45 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Putrajaya dijadual mengumumkan status terkini PKP sebelum Jumaat, sama ada dilanjut atau ditamatkan, selepas dilanjutkan kali pertama dari 31 Mac kepada 14 April.
Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob minggu ini berkata pihak Majlis Keselamatan Negara sedang meneliti kemungkinan untuk memperkenalkan peraturan baharu mengikut zon jangkitan Covid-19.
Setakat Rabu, 23 daerah kesihatan di seluruh Malaysia dikelaskan sebagai zon merah iaitu yang mempunyai lebih 41 kes positif Covid-19. – 8 April, 2020.
Komen