RAKYAT Malaysia yang bekerja di Singapura dinasihatkan terus berada di republik itu bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19, kata Ismail Sabri.
Menteri kanan itu berkata rakyat Malaysia masih boleh bekerja di Singapura dan kerajaan negara itu sudah bersetuju memberi bantuan keperluan harian mereka.
“Saya mahu nasihatkan mereka supaya terus berada di Singapura kerana mereka masih boleh bekerja dan kerajaan di bawah perjanjian sebelum ini bersetuju memberikan bantuan harian seperti makanan dan tempat tinggal,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail menjelaskan isu kepulangan rakyat dari republik itu juga sedang diuruskan.
“Ada perbezaan kecil antara cara Malaysia dan Singapura tangani perkara itu. Singapura ikut prosedur Organisasi Kesihatan Dunia yang orang bergejala tidak perlu ‘swap’ tekak tetapi di Malaysia semua orang perlu diperiksa.
“Kita juga perlu tahu berapa ramai yang akan balik. Kerana itu kami sedang berbincang dengan Singapura jika mereka boleh beri nama, berapa ramai yang balik. Senarai itu penting untuk kami buat persediaan,” tambahnya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan perintah kawalan pergerakan selama sebulan di republik itu bagi mengekang wabak Covid-19 yang menyaksikan semua ruang awam ditutup kecuali perkhidmatan penting.
Hampir 45,000 pekerja Malaysia terkesan dengan tindakan itu.
Pada Isnin, Johor memohon Singapura membenarkan rakyat Malaysia pulang secara berperingkat bagi memudahkan urusan saringan dan tapisan keselamatan. – 8 April, 2020.
Komen