Warga asing dalam PKPD urusan suruhanjaya tinggi mereka, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

97% penduduk dua blok bangunan di Jalan Masjid India di tengah-tengah Kuala Lumpur yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan adalah warga asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 April, 2020.

KEBAJIKAN warga asing yang terkandas dalam rumah mereka di Selangor Mansion dan Malayan Mansion kerana perintah kawalan pergerakan dipertekatkan (PKPD) adalah tanggungjawab suruhanjaya tinggi negara masing-masing, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Ismail berkata 97% penduduk dua blok bangunan di Jalan Masjid India di tengah-tengah ibu kota itu adalah warga asing.

Kebanyakan mereka berasal dari India, Pakistan dan Bangladesh.

Kawasan itu diletakkan di bawah PKPD semalam selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan di situ. Di bwah PKPD, semua penduduk tidak dibenarkan meninggalkan rumah mereka walaupun untuk membeli makanan dan barangan keperluan lain.

“Kementerian Luar sudah menghubungi semua suruhanjaya tinggi berkaitan dan kini tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan rakyat mereka,” kata Ismail pada sidang media disiarkan secara langsung di Facebook.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menyediakan pilihan lain kepada mereka.

“Mereka boleh menghubungi pusat operasi diwujudkan di sana dan meminta petugas membantu mereka membeli makanan dan keperluan lain.

“Tetapi, penduduk perlu membayar sendiri barangan ini,” kata Ismail yang juga menteri pertahanan. – 8 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen