TUJUH pusat perlindungan dibuka untuk gelandangan Kuala Lumpur, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain.
Katanya, DBKL membuka tiga lagi pusat tambahan kepada empat yang sudah dibuka untuk menempatkan gelandangan ketika operasi menyelamatkan golongan tidak bernasib baik itu terus berjalan sepanjang perintah kawalan pergerakan.
“Kita sekarang ada tujuh pusat perlindungan, sedia untuk gelandangan sepanjang PKP.
“Dua tempat terbaru untuk mereka adalah Kompleks Sukan Seri Delima di Kepong dan Kompleks Sukan Desa Tasik di Bandar Tasik Selatan. Satu lagi dalam senarai menunggu ialah dewan di Melati Impian, Gombak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sehingga Isnin, jumlah gelandangan dikumpul DBKL adalah seramai 614 orang termasuk 71 warga asing.
Semua warga asing ditempatkan di Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras, manakala warga tempatan ditempatkan di dewan lain.
Antara dewan yang melindungi mereka daripada Covid-19 adalah dewan Sentul Perdana (189), Setiawangsa (150), Tasik Ampang Hilir (107), Seri Delima (470) dan Desa Tasik (50).
Anwar memberi jaminan yang penguatkuasa mematuhi semua prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan ketika proses menyelamatkan gelandangan.

Tambahnya, sebelum gelandangan dibawa ke pusat perlindungan, mereka akan menjalani saringan Covid-19 di Medan Tuanku.
“Bila kami jumpa mereka, kami minta pegawai penguatkuasa pakai topeng, suit PPE, pencuci tangan. Ini prosedurnya dan mereka perlu ikut.
“Selepas itu, kami akan hantar mereka untuk saringan di Medan Tuanku. Kami kemudian pindahkan mereka ke pusat perlindungan masing-masing,” katanya, menambah seramai 25 pegawai DBKL akan bekerja mengikut shif mengawal pusat itu.
Anwar berkata mereka tidak berdepan sebarang isu makanan kerana Kembara Kitchen, yang menguruskan dapur gelandangan di ibu kota menyediakan bekalan makanan enam kali sehari untuk semua gelandangan.
Bagaimanapun, gelandangan kekurangan bekalan pakaian dan Anwar mengalu-alukan orang awam menderma.
“Kami sudah mulakan kempen meminta derma, jadi siapa yang sedia bagi, boleh hubungi kami,” katanya.
Kempen DBKL itu akan berjalan sepanjang PKP dijalankan dan mereka yang mahu menderma pakaian boleh menghubungi talian 03-4026 7222 daripada jam 9 pagi sehingga 5 petang. – 8 April, 2020.
Komen