Ronaldinho bebas penjara, jalani tahanan rumah


Ronaldinho dan abangnya ditahan di Asuncion, Paraguay kerana didakwa masuk ke negara itu menggunakan pasport palsu. – Gambar EPA, 8 April, 2020.

HAKIM Paraguay pada Selasa mengarahkan pembebasan pemain bola sepak Brazil, Ronaldinho dan abangnya bagi menjalani tahanan rumah di sebuah hotel di pusat bandar Asunción.

Hakim Gustavo Amarilla memberitahu pemberita beliau memerintahkan “lanjutan penahanan rumah di sebuah hotel bagi Ronaldinho dan abangnya.”

Mereka dipenjarakan hampir sebulan lalu bagi menunggu perbicaraan berhubung pertuduhan menggunakan pasport palsu untuk memasuki Paraguay. Peguam mereka membayar wang jaminan sebanyak AS$1.6 juta.

“Saya mendapat jaminan yang para pengurus hotel bahawa mereka, dengan perbelanjaan sendiri, akan memantau tahanan rumah di sana,” kata Amarilla pada sidang akhbar.

Mahkamah Rayuan Paraguay bulan lepas menolak permohonan membebaskan kedua-duanya, yang ditempatkan di blok sel yang turut menempatkan bekas ketua persekutuan bola sepak Paraguay dan bekas speaker Dewan Rakyat Parlimen negara itu.

Pemain terbaik dunia sebanyak dua kali itu dan abangnya, Roberto de Assis Moreira, pada mulanya tidak menghadapi sebarang masalah selepas tiba di Asuncion dari Brazil pada 4 Mac.

Bagaimanapun, dalam masa beberapa jam, kedua beradik itu berada dalam tahanan polis apabila penyiasat menyerbu hotel selepas mendapati pasport mereka adalah palsu.

Ronaldinho, yang kedatangannya ke Asuncion disambut oleh kira-kira 2,000 kanak-kanak dan remaja, berkata pasport diberikan kepadanya oleh penaja amal yang terlibat dengan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Seramai 14 orang lain didakwa dalam kes itu.

Waran tangkap dikeluarkan untuk ahli perniagaan Paraguay yang bertanggungjawab terhadap yayasan amal yang menjemput Ronaldinho.

Ronaldinho, yang dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman adalah bintang yang membantu kemenangan Brazil pada Piala Dunia 2002 dan pernah beraksi untuk kelab gergasi Eropah seperti Barcelona, ​​Paris Saint-Germain dan AC Milan. – AFP, 8 April, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen