Untung rugi peniaga makanan sepanjang hari-hari PKP


Mohd Farhan Darwis

Penghantar makanan mengaku terdapat penurunan jumlah pesanan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2020.

PERKHIDMATAN penghantaran makanan menguntungkan peniaga makanan yang terus berniaga sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berjalan namun pada masa sama merugikan mereka.

Dari satu sisi, kedai makan mengaut untung kerana terus mendapat tempahan dalam talian walaupun perniagaan rata-ratanya ditutup.

Namun sesetengah mereka terpaksa menaikkan harga jualan kerana perkhidmatan penghantaran makanan ini mengambil potongan yang tinggi daripada peniaga, kata pemilik kedai makan.

Penghantar makanan pula memberitahu The Malaysian Insight pendapatan mereka merosot sepanjang tempoh PKP kerana orang ramai lebih selesa masak sendiri di rumah.

“Kalau saya tak naikkan harga di menu syarikat penghantar makanan, saya rugi lagi teruk, nak tampung caj lagi, tak sanggup saya,” kata Muhammad Alif Firdaus Anual, 24, pemilik sebuah restoran di Shah Alam, Selangor.

Katanya, komisyen antara 18% hingga 35% bukan baharu sebaliknya sudah dipersetujui antara peniaga dan syarikat penghantar makanan, malah sejak sebelum pelaksanaan PKP lagi.

Untuk menampung potongan itu, peniaga restoran menaikkan harga jualan untuk makanan yang dipesan melalui aplikasi penghantaran makanan bagi menampung kos yang dikenakan oleh syarikat berkenaan.

“Katakan nasi goreng di kedai kita caj RM7, dalam menu atas talian kita letakkan harga siap-siap RM9.50.

“Jadi bila dipotong 30% oleh syarikat penghantar makanan, kita masih dapat jumlah sama harga makanan yang dipesan di kedai,” katanya, yang menggaji lapan pekerja.

Sehingga 80% jualan di restoran milik Alif datang daripada tempahan dalam talian sejak PKP berjalan setelah perintah itu melarang pelanggan makan di kedai.

Namun itupun masih tidak cukup untuk menampung modal harian, yang terpaksa beliau tokok dari duit simpanan antara RM200 hingga RM400 sehari untuk bahan mentah, gaji pekerja, dan kos utiliti.

Pendapatannya pada Mac lalu hanya RM5,000 saja berbanding hampir RM30,000 pada bulan-bulan yang lain.

“Kalau harapkan pesanan bungkus memang susahlah. Untuk tampung pendapatan, saya sendiri buat penghantaran rumah ke rumah,” katanya, yang pernah berkhidmat sebagai penghantar makanan sebelum mula berniaga sendiri sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Saddam Hussein, pemilik bersama sebuah kedai mamak di Shah Alam, berkata beliau menaikkan harga jualan 18% untuk menampung kos penghantaran.

“Saya baru guna khidmat syarikat penghantar makanan, jadi pesanan masuk masih tidak banyak, tetapi dalam sehari adalah lima ke tujuh pesanan diterima,” katanya, yang mempunyai lapan pekerja.

Beliau juga berkata kedainya hanya mampu mengutip purata kurang RM100 sehari, sejak pelaksanaan PKP.

Restoran dan pengusaha makanan adalah antara yang teruk terjejas sejak kerajaan melarang orang ramai keluar rumah berleluasa bagi membendung penularan Covid-19.

Awal minggu ini kerajaan mengumumkan pakej bantuan tambahan sebanyak RM10 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik itu.

Dalam pada itu, penunggang penghantar makanan yang ditemui The Malaysian Insight mengaku ada penurunan jumlah pesanan yang mereka terima dalam tempoh pelaksanaan PKP.

Mohd Firdaus Hasri, 21, berkata beliau sebelum ini boleh dapat sampai RM1,500 seminggu tetapi sekarang hanya kira-kira RM1,000 seminggu.

Restoran dan pengusaha makanan adalah antara yang teruk terjejas sejak kerajaan melarang orang ramai keluar rumah berleluasa bagi membendung penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 April, 2020.

“Mungkin sebab orang tak boleh keluar jadi mereka boleh masak sendiri di rumah,  sebab itu kurang pesanan masuk.

“Tapi disebabkan harga minyak murah sekarang tidak terasa sangatlah, saya pun hantar naik motosikal Honda EX5, sehari dua kali isi minyak penuh tangki baru RM8,” katanya.

Afham Hasyari Mohd Noor, 20, pula berkata, syarikat penghantar makanan tempatnya bekerja tidak mengenakan caj kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP ini.

“Sekarang kos penghantaran kosong, pelanggan hanya bayar harga makanan sahaja… tetapi pesanan kuranglah berbanding hari biasa.

“Seminggu saya hilang kira-kira RM400 berbanding sebelum ini. Itu pun saya kena pulun, sehari saya perlu buat minimum 30  penghantaran, baru ada gaji sikit,” katanya.

Berbeza bagi Wan Amirul Wan Zulmuni, 23, tempoh PKP adalah permulaan untuknya menjadi pekerja penghantar makanan secara sambilan.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu berkata, disebabkan larangan mahasiswa pulang ke kampung sepanjang PKP, dia bersama beberapa rakannya mendaftarkan diri sebagai penghantar makanan.

“Dapatlah duit belanja sedikit, boleh juga bantu-bantu keluarga di kampung,” kata penuntut jurusan pengurusan khidmat pelanggan itu.

Sebagai junior, Wan Amirul berkata, dia bekerja antara tiga hingga lima jam sehari dengan pendapatan sehingga RM60, sejak bermula pada 18 Mac lalu, hari pertama pelaksanaan PKP.

“Saya fikir daripada duduk tidak buat apa, ini peluang saya buat duit, seminggu boleh dapat antara RM300 hingga RM500, cukuplah itu,” katanya, yang menerima bayaran seminggu sekali.

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dan dilanjutkan sehingga 14 April.

Sekiranya dilanjutkan lagi, perkhidmatan penghantaran makanan dijangka akan lebih meningkat setelah kerajaan turut melarang operasi bazar Ramadan untuk bulan puasa yang dijadual bermula akhir bulan ini. – 8 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen