KERAJAAN Pulau Pinang hari ini memohon Putrajaya bantuan kewangan kepada mangsa banjir di negeri itu.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata wang kerajaan negeri untuk mangsa banjir tidak mencukupi.
Pulau Pinang baru-baru ini mengalami dua bencana banjir. Pertama pada 15 September, berikutan tadahan hujan sebanyak 270mm dan kemudiannya pada 4 dan 5 November yang mencatat 372mm.
Kerajaan negeri menghulurkan bantuan sebanyak RM400 kepada mangsa banjir bulan September manakala RM700 untuk mangsa banjir November.
“Kami sekali lagi memohon kerajaan persekutuan mengirim bantuan kewangan kepada mangsa. Kami tak minta wang diberikan kepada kerajaan negeri.
“Wang yang kami minta ini untuk rakyat yang terkena musibah banjir. RM400 dan RM700 tidak cukup buat mereka,” kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.
Kerajaan negeri memberi RM400 kepada setiap 7,037 keluarga yang terkena bencana banjir pada September pada minggu ini sebelum memberi RM700 kepada pemohon yang mengalami bencana pada November.
Kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 100,000 keluarga terkesan oleh banjir dan ribut berkelajuan 64kmpj pada November itu di seluruh negeri.
“Daripada RM234.88 juta yang dibelanjakan dari 2013 hingga 2017 untuk bantuan banjir seluruh negara, Pulau Pinang menerima jumlah paling kecil iaitu RM35,500 daripada kerajaan persekutuan sehingga bencana 15 September lalu,” katanya.
Lim juga mendesak Perdana Menteri Najib Razak untuk mengingat kembali janjinya untuk mempertimbangkan peruntukan persekutuan RM1 bilion untuk projek tebatan banjir di negeri dikuasai pembangkang.
Najib baru-baru ini melawat Pulau Pinang untuk melihat operasi bantuan banjir.
“Tolong luluskan bantuan RM1 bilion. Wang itu sebahagian daripada peruntukan RM1.6 bilion yang telah diluluskan untuk projek tebatan banjir.
“Kami tak meminta jumlah penuh yang diluluskan pun,” katanya.
Ketika sidang media, Lim juga memberitahu Jabatan Meteorologi memperbetulkan fakta selepas ketua pengarahnya Alui Baharin dipetik sebagai berkata bahawa Pulau Pinang menerima hujan paling teruk pada 1995 dalam rencana di Berita Harian pada 12 November.
Lim menunjukkan rekod banjir kilat di beberapa kawasan di Nibong Tebal pada September 1995 yang diakibatkan oleh hujan lebat yang berterusan selama 12 hingga 48 jam.
Beliau berkata, hujan yang direkod ketika itu hanya menghampiri 200mm, jauh lebih kurang daripada hujan lebat yang direkod pada September dan November tahun ini.
“Kami harap Jabatan Meteorologi boleh semak semula rekod dan kenapa mereka gagal untuk mengirim amaran awal mengenai ribut pada 4 November lalu.
“Kita semua tahu jabatan itu hanya hantar amaran merah pada 9.30 malam hari itu selepas hujan lebat dan angin kencang sudah mula,” katanya.
Tambah Lim, beliau baru sahaja berbincang dengan seorang tokoh terkemuka barat dan beliau juga keliru kenapa Pulau Pinang tidak menerima amaran mengenai ribut.
“Kami harap ketua pengarah boleh menyusun semula agar jabatannya boleh melakukan tugas dengan lebih baik dan dapat memberikan ramalan dan amaran cuaca yang tepat,” katanya. – 19 November, 2017.
Komen