45 hotel diwarta sebagai pusat kuarantin Covid-19, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Putrajaya membiaya RM150 sehari termasuk makanan bagi setiap individu yang menjalani kuarantin di hotel terpilih, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2020.

PUTRAJAYA telah mewartakan 45 hotel bertaraf tiga bintang ke atas sebagai pusat kuarantin Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, beliau berkata Putrajaya hanya membiaya RM150 sehari termasuk makanan bagi setiap individu yang menjalani kuarantin di hotel terpilih.

“Kerajaan membiayai kos untuk bilik dan makan terhad kepada RM150 sehari.

“Kos-kos lain seperti dobi dan sebagainya ditanggung oleh individu yang dikuarantinkan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau menafikan dakwaan di media sosial semalam terdapat sesetengah individu yang dihantar ke hotel mewah yang untuk menjalani kuarantin.

“Tular di media sosial mengenai hotel bertaraf empat bintang dan lima bintang yang digunakan sebagai pusat kuarantin. Macam-macam lah disebutkan. Antara dua darjatlah, berbagai-bagai lagi perkara yang disebutkan semalam,” katanya.

Ismail menambah, individu boleh memilih hotel sendiri sekiranya sanggup menanggung sendiri kos selebihnya.

“Seperti yang saya katakan hotel yang ditanggung oleh kerajaan adalah hotel yang kosnya RM150.

“Jika mereka memilih hotel mereka sendiri, dengan bilik berbeza, mereka perlu membayar sendiri. Tidak ditanggung oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, mereka hanya boleh memilih hotel yang telahpun ditetapkan oleh kerajaan,” kata Ismail.

“Kalau mereka memilih hotel sendiri, dan tidak mengikut hotel yang disenaraikan tentu sahajalah kita akan menghadapi kesukaran untuk membuat pemantauan.”

Bagi diplomat asing pula, menteri itu berkata kos penginapan akan ditanggung oleh kedutaan masing-masing.

“Tiada pengecualian daripada mereka yang pulang dari luar negara untuk dikuarantinkan termasuk diplomat asing. Jadi mereka minta tinggal di hotel yang akan dibayar oleh kedutaan masing-masing,” katanya.  – 7 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen