NGO kumpul RM37,000 bantu Orang Asli di Pahang


Aminah Farid

Walaupun penduduk kampung Orang Asli juga bertani dengan menanam petai dan serai, namun pendapatan mereka terjejas akibat pelaksanaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2020.

GLOBAL Peace Foundation (GPF) Malaysia berjaya mengumpul dana lebih RM37,000 untuk 1,000 keluarga Orang Asli yang terjejas akibat Covid-19 di Pahang.

Di bawah kempen #RAISEFORFOOD, kumpulan itu membantu masyarakat Orang Asli menangani masalah yang dihadapi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif GPFM Dr Teh Su Thye memberitahu The Malaysian Insight, dana yang dikumpul akan disalurkan dalam bentuk bantuan makanan.

“Dana yang terkumpul dapat membantu 1,000 keluarga. Setiap keluarga Orang Asli kami agihkan bantuan makanan bernilai RM50,” kata Teh.

Kebanyakan Orang Asli hanya pekerja rencam yang secara purata memperoleh pendapatan antara RM300 hingga RM600, dan dikategorikan sebagai miskin tegar.

Majoriti daripada mereka tidak dapat mampu membeli barangan keperluan asas sejak PKP dikuatkuasakan.

Walaupun penduduk kampung Orang Asli juga bertani dengan menanam serai, petai dan pokok getah, namun pendapatan mereka terjejas akibat pelaksanaan PKP.

Dana yang dikumpulkan oleh GPFM kata Teh akan dapat membantu masyarakat orang Asli di Pahang meneruskan kehidupan.

“Sepanjang empat tahun, kami bekerjasama dengan masyarakat Orang Asli di Pahang melalui pelbagai projek seperti tenaga solar dan bekalan air.

“Jadi, kami dah kenal orang-orang kampung dan Tok Batin. Ini memudahkan mereka berhubung dengan kami.” – 7 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen