RATA-RATA pengguna mendapati harga barangan keperluan makananan tidak meningkat dengan ketara selepas tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Menurut beberapa pelanggan ditemui The Malaysian Insight, hanya beberapa barangan naik harga seperti ikan dan sayur namun mereka tidak bimbang kerana ia tidak meningkat terlalu tinggi.
Tinjauan The Malaysian Insight di beberapa pasar mendapati harga beberapa jenis ikan naik harga sekitar RM 1 atau RM2 sahaja dan harga kebanyakan sayur juga sama seperti sebelum PKP.
Seorang pemandu van, Muru berkata, harga ikan dan sayur itu didapati naik ketika beliau membeli barangan di sebuah pasar di Petaling Jaya.
“Minggu lalu, saya pergi ke pasar basah Petaling Jaya. Ikan kembung biasanya saya beli RM14 dan ikan merah juga sekitar harga yang sama. Kemudian saya pergi lagi, harga meningkat kepada RM20.
“Peniaga kata mereka juga dapat (pada harga) mahal daripada pembekal… Tetapi tidak semua orang menjual barangan untuk harga yang tinggi, hanya beberapa orang,” tambah Muru, 54.
Seorang penerbit video, Hadi Azmi pula berkata beliau sukar mencari bahan mentah yang segar dan berkualiti ketika waktu PKP ini dan ikan naik harga sekali ganda.
“Biasanya barang ada yang murah dan stok banyak tetapi sejak PKP kita mengalami kesulitan mencari barangan seperti bawang. Bawang yang dijual semuanya nampak lama tetapi harganya masih sama.
“Begitu juga untuk ikan, ikan selar biasanya sekitar RM7 sekilo tetapi beberapa hari yang lalu naik RM12 sekilo. Sayur-sayuran juga jarang. Ada kualiti kurang baik tetapi pada harga yang sama.”
Hadi, 32 beranggapan, keadaan itu berlaku di pasar Jalan Othman, Petaling Jaya kerana penjual masih cuba menjual stok lama dan bekalan pula terhad.
Seorang pekerja swasta di Seberang Jaya, Mohd Khidir Mohd Yussof, berkata, beliau juga melihat beberapa jenis ikan naik harga.
“Saya perasan ada beberapa jenis ikan naik, contoh ikan merah sekilo RM13 atau RM14 tapi hari ini (Ahad) ada nampak sampai RM17, mungkin stok terhad jadi mereka naikkan harga.
Tapi macam harga sayur dan ayam, saya tengok masih sama,” jelas Mohd Khidir, 36.

Khidir turut mendapati, beliau kini lebih banyak berbelanja apabila keluarga makan di rumah setiap hari.
“Kita tak makan luar, anak-anak pun hari-hari makan di rumah jadi stok bekalan makanan kena banyak. Tapi kita harap PKP tidak berlanjutan lama dan harga barang pun stabil,” katanya lagi.
Seorang pekerja majlis perbandaran, Mohd Syamsul Shamsuddin, 42, juga memberitahu beberapa harga ikan naik tetapi tidak ketara.
“Ada harga ikan naik tapi dalam RM1 ke RM2. Tapi di tempat lain pula, saya tengok ada ikan pada harga biasa.
Mungkin ini isu stok ikan dihadkan dan penjual terpaksa naikkan harga,” jelasnya.
Sejak PKP dilaksanakan, pasar-pasar awam dan pasar-pasar raya dibenarkan beroperasi dengan bersyarat.
Antaranya, pihak premis perlu memastikan jarak antara pelanggan dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung.
Selain itu hanya setiap ketua keluarga atau seorang wakil dibenarkan keluar membeli barangan keperluan.
Penjual syukur masih boleh berniaga
Bagi penjual sayur, Beni Krishnan, beliau bersyukur kerana masih dapat berniaga walau perniagaannya sedikit terjejas.
Beliau masih dapat menjual sayur pada harga yang sama seperti sebelum tempoh PKP di Pasar Awam Seberang Jaya dan stok bekalan juga mencukupi, kata Beni, 54.
“Pelanggan memang kurang, hasil perniagaan kita merosot 20-30%. Tetapi syukurlah boleh berniaga lagi daripada peniaga lain, ada yang tak boleh buka terus kedai,” katanya.
Penjual daging lembu, Mohd Rafi Yusuf, pula mendapati pelanggan juga tidak lagi membeli bahagian organ dalaman seperti perut, lidah dan limpa.
“Orang banyak berjimat. Kami kena beli seekor lembu, tetapi pelanggan hanya beli bahagian yang ada daging sahaja.
“Kita jual pada kadar yang sama iaitu sekilo RM34 tetapi pemborong jual harga lebih mahal bagi daging tempatan, iaitu naik RM13.20 daripada RM12.60 sebelum PKP,” kata beliau. – 7 April, 2020.
Komen