PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia “berkorban” sepanjang perintah kawalan pergerakan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
Katanya, walaupun sukar ia tidak mustahil untuk dilakukan.
“Inilah pengorbanan yang kita buat untuk menang perang melawan virus berbahaya ini.
“Menang perang ini bermula dengan duduk di rumah dan bersama keluarga. Kita boleh menghentikan virus daripada menular dengan duduk di rumah dan mengekalkan jarak fizikal,” katanya pada perutusan khas disiarkan secara langsung ke seluruh negara untuk mengumumkan bantuan tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana.
“Teruskan cekal, kuat dan bersemangat, Insyaallah kita akan berjaya. Yakinlah kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama.”
Muhyiddin juga mendedahkan beliau menyedari rakyat mula rasa terbeban dengan PKP yang sudah masuk minggu ketiga, berdasarkan pemerhatiannya di media sosial, tetapi yakin setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk berdepan tempoh dugaan sekarang.
Beliau turut meluahkan perhargaan dan berterima kasih kepada pekerja kesihatan kerana terus amanah menjalankan tugas dan rakyat yang patuh kepada PKP. – 6 April, 2020.
Komen