SEMUA negeri perlu mengikut garis panduan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perlu berunding dengan badan itu dahulu sebelum membuat sebarang keputusan termasuklah kebenaran buka kedai tertentu, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau mengulas keputusan kerajaan Selangor semalam untuk membenarkan bengkel kereta dan kedai alat ganti beroperasi setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.
“(Kebenaran) Untuk buka atau tutup mana-mana premis atau kilang perlu datang dari MKN. Ini bukan masa biasa. Ketika masa biasa, majlis kerajaan tempatan boleh gunakan kuasa untuk benarkan atau tidak membenarkan industri beroperasi.
“Tetapi dalam keadaan sekarang, MKN satu-satunya badan yang boleh keluarkan arahan. Saya harap semua keputusan boleh diselaraskan dengan kerajaan persekutuan dan semua keputusan berdasarkan MKN,” kata Ismail.
Semalam, Exco Selangor Ng Sze Han berkata bengkel kereta boleh dibuka setiap hari untuk memberi khidmat kepada pelanggan memerlukan selagi mana kaedah pencegahan kesihatan dan penjarakan sosial dipatuhi.
Dalam senarai soalan lazim MKN dikeluarkan 2 April lalu menjelaskan fasa kedua PKP, kedai menjual barangan bukan perkhidmatan penting dibenarkan buka hanya dua hari seminggu.
Ini termasuklah penjual barangan pertanian seperti baja, kedai peralatan rumah, haiwan peliharaan dan alat ganti untuk pertanian dan industri. – 6 April, 2020.
Komen