Penternak ikan Pulau Pinang merana selepas ribut


Looi Sue-Chern

Pekerja kelihatan membaiki kerosakan di kawasan penternakan ikan terletak antara Batu Kawan di selatan Seberang Prai dan Pulau Aman selepas musnah dilanda ribut awal bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight David ST Loh, 19 November, 2017.

SEPANJANG 40 tahun keluarganya terbabit dalam industri perikanan, tidak pernah Heng Seng Chew lihat ribut seteruk seperti yang melanda Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lagi.

Anginnya sungguh kuat sehinggakan sangkar ikan laut di ladang ternaknya musnah.

“Ketika saya tahu tentang angin kuat pada awal pagi Ahad itu, ia sudah lewat. Angin terlalu kuat sehingga tidak ada sesiapa pun dapat keluar ke ladang ternak.

“Kami terpaksa tunggu ribut berhenti. Ketika kami tiba di ladang, semua ikan hilang,” katanya yang juga pengerusi Persatuan Penternak Ikan Bukit Tambun kepada The Malaysian Insight.

Angin dengan kelajuan 40km sejam itu menyebabkan kerosakan teruk di ladang ikan antara Batu Kawan di selatan Seberang Prai dan Pulau Aman, di mana ikan mahal seperti kerapu, siakap emas dan ikan merah membiak.

Mereka memukul ombak yang kemudian menghempas sangkar-sangkar itu, menyebabkan jaring pecah dan semua ikan terlepas ke lautan.

Menambah lagi kepada nasib malang itu, penternak ikan berkata mereka “dirompak”.

“Perkara terburuk yang berlaku ialah orang luar datang dengan jala mereka untuk tangkap ikan kami. Penternak ikan sedang melihat ladang mereka yang musnah, sementara orang lain tangkap ikan itu.

“Saya tidak tahu siapa mereka. Ada orang memang pandai saja cari peluang buat duit,” kata Heng, 45.

Seorang lagi penternak ikan, Mohd Noor Abd Rahim berkata ada orang luar sampaikan memancing ikan mereka keluar dari sangkar yang masih elok dan tidak terbuka, sengaja mengambil kesempatan atas bencana itu.

Heng berkata sesetengah pemilik ladang membuat laporan polis tetapi mereka tidak meletak harapan yang tinggi, ia akan membawa kebaikan kepada mereka.

Pengerusi Persatuan Peladang Ikan Bukit Tambun Heng Seng Chew berkata ada pemilik ladang membuat laporan polis mengadu mengenai ikan mereka yang terlepas di lautan dicuri oleh orang luar. – Gambar The Malaysian Insight David ST Loh, 19 November, 2017.

Kerugian besar

Sektor perikanan Pulau Pinang paling terkesan dalam jumlah kerugian pertanian sebanyak RM55.9 juta, akibat angin kuat, banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang di seluruh negeri itu. Tujuh maut, kebanyakannya warga emas, akibat banjir.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Dr Afif Bahardin berkata kerugian keseluruhan bagi sektor pertanian dianggarkan RM77,649,573.

Bagi penternak ikan di kawasan Heng, kerugian mereka dijangka berjumlah RM40 juta. Terdapat 26 penternak terjejas di situ dan syarikat besar menyaksikan kerugian jutaan ringgit.

Heng berkata satu ladang biasanya terdapat 100 sangkar, dengan setiap satu mempunyai 2,000 ikan yang bernilai RM20,000 atau lebih, bergantung pada jenis ikan.

“Satu sangkar boleh menempatkan sehingga 4,000 ikan. Bagaimana penternak mahu pulih bila anak ikan pun hilang. Ada penternak yang tiada wang langsung untuk memulihkan ladang.”

Heng berkata dua ladang hilang segala-galanya, dan sukar untuk ladang seperti itu kembali beroperasi selepas ini.

“Ada kemungkinan kita berdepan kerugian RM40 juta secara keseluruhan. Bagi sesetengah penternak, untuk bermula kembali akan menjadi sangat sukar.

“Kos makanan ikan saja RM300,000 hingga RM400,000. Kami juga terpaksa bayar gaji pekerja asing,” katanya, menambah tetap bersyukur tidak ada pemilik atau pekerja yang cedera dalam kejadian ribut itu.

Heng sendiri mempunyai empat ladang dan hilang 45% daripada ikannya. Beliau menganggarkan kerugiannya RM6 juta.

“Kebanyakan daripada kami bela ikan yang bagus untuk pelanggan tempatan dan antarabangsa. Ikan besar seperti kerapu, siakap dan ikan merah.

“Ikan besar ambil masa dua tahun untuk membesar sebelum kami boleh jual. Ikan kecil ambil masa beberapa bulan. Kerja yang dilakukan bertahun-tahun lamanya, semua hilang dalam satu malam,” katanya.

Seorang pekerja sedang memberi makanan kepada ikan di salah sebuah ladang ikan di Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight David ST Loh, 19 November, 2017.

Mohd Noor yang mempunyai 100 sangkar menjangkakan kerugian RM200,000 dan turut kehilangan 200 sangkar yang baru saja dibeli.

“Saya belum letak ikan pun dalam sangkar baharu. Ia pastinya sudah tenggelam. Saya tidak jumpa jejak langsung,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, beliau akan dapat memulakan operasinya sekali lagi jika ada bantuan daripada kerajaan.

“Jika tidak, terpaksalah saya bermula kecil-kecilan, perlahan-lahan,” katanya yang turut menawarkan tempat memancing di ladangnya.

Tiada insurans

Heng berkata mereka semua tidak mempunyai insurans untuk menampung kerugian itu.

“Ini perniagaan yang berdepan dengan keadaan laut. Ikan pun mati juga kerana penyakit dan parasit. Bagaimana hendak dapatkan perlindungan insurans untuk itu?”

Heng berkata penternak ikan pada masa ini melakukan kerja pembaikan mengikut kemampuan mereka, dan berharap akan mendapat bantuan kerajaan.

Persatuan itu ada bertemu kerajaan negeri awal minggu lalu dan jabatan perikanan persekutuan untuk membincangkan keadaan penternak ikan.

Tetapi, masih belum ada perkembangan atau keputusan sama ada mereka akan mendapat bantuan atau tidak.

Heng berkata buat masa ini mereka mengharapkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dapat membekalkan air bersih dari Pulau Aman ke ladang mereka bagi kegunaan pekerja dan penyelenggaraan ladang.

“Selama ini, kami terpaksa angkut air ke ladang. Kami hantar kira-kira 50 tong sehari. Ia jadi mahal dengan kos minyak yang semakin naik sekarang.

“Jika kami dapat air dari Pulau Aman, besar pertolongan itu. Air lebih penting daripada bekalan eketrik,” katanya.

Bekalan air bersih diperlukan oleh pekerja yang tinggal di ladang terapung untuk mandi, minum, masak dan “mandikan” ikan.

“Ikan perlu dibersihkan ketika musim parasit. Kalau tidak mereka akan sakit dan mati,” katanya.

Kekurangan bekalan

Heng berkata penternak berharap kerajaan akan mendengar rayuan mereka untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.

“Kerugian kami akan menyebabkan bekalan air di pasaran berkurangan. Kami sangat memerlukan sokongan pada masa ini,” katanya.

Dr Afif berkata penternak ikan layak menerima bantuan RM700, yang akan diberikan oleh kerajaan negeri sebelum akhir tahun ini.

“Kerajaan negeri bercadang untuk mengecualikan bayaran yuran TOL (lesen pekerjaan sementara) mereka. Itu sedang diuruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penternak ikan dapat berjimat antara ratusan dan beberapa ribuan ringgit menerusi pengecualian TOL, bergantung pada saiz ladang mereka.

Ribut yang melanda awal bulan ini paling terburuk di Pulau Pinang dalam tempoh 30 tahun. Lebih 12,500 orang terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing dan 100,000 isi rumah terjejas akibat bencana itu. – 19 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen