Cari cara lain untuk jana pendapatan, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Banyak kedai dan perniagaan lain terpaksa ditutup berikutan tidak mendapat permintaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

TUKAR hobi kepada perniagaan atau hasilkan produk makanan dan lain-lain dari rumah untuk mendapatkan wang, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kepada mereka yang hilang punca pendapatan sepanjang krisis pandemik Covid-19.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu mencari cara lain untuk menjana pendapatan.

“Mereka boleh hasilkan produk makanan atau beberapa produk lain. Mereka juga boleh menukar hobi mereka menjadi perniagaan.

“Dari situ mereka akan mendapat wang kerana ada yang hilang punca pendapatan,” katanya dalam satu temubual siaran langsung di Facebook MyPerintis hari ini.  

Beliau berkata ramai terpaksa berhenti kerja kerana tidak ada permintaan.

“Mereka (majikan) perlu terus membayar gaji pekerja sedangkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan.

“Sebagai contoh (syarikat penerbangan) terpaksa menghentikan penerbangan, jadi mereka tidak ada pendapatan. Macam mana mereka nak bayar pekerja?

“Jadi semua orang mesti menerima bahawa tahap pendapatan semua orang termasuk industri besar menurun kerana tidak ada permintaan,” katanya. 

Dr Mahathir juga menggesa orang ramai menceburi bidang perniagaan di dalam talian.

“Seluruh gaya perniagaan akan berubah sepenuhnya. Mereka akan buat secara dalam talian.

“Jadi ia akan berbeza kerana semakin banyak perniagaan akan membeli dan menjual sesuatu di dalam talian,” katanya.

Ramai yang sudah menggunakan pemasaran di dalam talian seperti Lazada dan Shopee.

“Tidak ramai tahu menggunakannya (platform). Oleh itu mesti ada cara bagaimana orang boleh membuat pemasaran dalam talian dan meningkatkan produktiviti mereka. Semua ini boleh diajar dalam talian,” katanya.

Rakyat Malaysia boleh menggunakan cara lain seperti perkhidmatan penghantaran.

“Sekiranya mereka mempunyai kereta sendiri mungkin boleh menghantarnya di sekitar kawasan berdekatan. Jika ada masa mereka boleh menghasilkan produk makanan.

“Organisasi amal memerlukan makanan jadi kita boleh memasak dan menghantar kepada mereka,” katanya. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen