RAKYAT Malaysia perlu mengubah kepada gaya hidup lebih sederhana dalam mengharungi kesan pandemik Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata orang ramai perlu mengurangkan aktiviti yang memerlukan wang supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan gaji lebih rendah.
“Disebabkan oleh gaji rendah, gaya hidup kita perlu berubah, kita tidak boleh lagi mengekalkan gaya hidup lama yang memerlukan banyak wang.
“Gaya hidup di mana kita hendak pakai baju cantik, mahu berparti…semua ini perlu diubah untuk mengurangkan belanja.
“Jika kita bersedia melakukannya, maka kita dapat menangani pandemik ini,” kata Dr Mahathir ketika sesi sidang video di laman Facebook MyPerintis hari ini.
Majikan juga katanya tidak akan tertekan untuk membayar gaji pekerja dengan kadar gaji yang sama jika rakyat mengamalkan gaya hidup lebih sederhana.
“Contohnya, pemain bola sepak mahu dibayar dengan gaji yang sama, tetapi mereka tak bermain (kerana Perintah Kawalan Pergerakan). Tak ada perlawanan, jadi macam mana kelab nak bayar mereka?
“Kita tidak boleh amalkan gaya hidup lama yang perlukan banyak belanja.”
Putrajaya menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19. Seramai 61 orang meninggal dunia akibat Cobid-19 setakat ini. – 6 April, 2020.
Komen