Pemain industri jangka bekalan topeng berkurang ekoran harga siling rendah


Chan Kok Leong

Sebelum penularan wabak Covid-19, Malaysia menggunakan kira-kira 15 hingga 20 juta topeng muka setahun.Namun susulan pandemik itu, anggaran permintaan tempatan kini meningkat kira-kira 100 juta keping. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

HARGA siling topeng muka akan menyebabkan masalah kekurangan bekalan yang disengajakan jika pengimport tidak dapat membuat keuntungan yang mencukupi, kata pemain industri.

“Terdapat kira-kira 100 kontena topeng akan dihantar ke Malaysia tidak lama lagi dan ditambah lagi dengan pembuatan tempatan. 

“Jadi topeng muka mencukupi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Healthcare Group Dr Haminnuddin Abd Hamid kepada The Malaysian Insight.

“Namun harga siling RM75 (bagi setiap kotak berisi 50 keping topeng tiga lapisan) akan menyebabkan kekurangan bekalan kerana kalangan pengimport tidak dapat membuat keuntungan yang mencukupi,” kata pembuat peralatan perubatan itu.

Ekoran permintaan tinggi secara mendadak, beliau berkata banyak pengimport memasuki pasaran untuk mengimport topeng muka apabila harga siling ditetapkan RM100 sekotak.

Sebelum penularan wabak Covid-19, Malaysia menggunakan kira-kira 15 hingga 20 juta topeng muka setahun.

Namun susulan pandemik itu, Haminnuddin berkata anggaran permintaan tempatan kini meningkat kira-kira 100 juta keping.

Beliau berkata dengan jumlah topeng yang dihantar dari China, bekalan adalah mencukupi.

Jelasnya satu masalah yang dihadapi adalah perubahan harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Pada 20 Mac, harga runcit untuk topeng 3 lapisan ditetapkan RM100 sekotak tetapi kurang dua minggu kemudian (31 Mac), harga siling diturunkan menjadi RM75 sekotak.

“Selepas penetapan harga RM100 sekotak, pengimport menempah pesanan dari China tetapi apabila stok tiba, harga siling diturunkan menjadi RM75 sekotak.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengutamakan kebersihan diri, memakai topeng muka sekiranya tidak sihat dan mengurangkan aktiviti luar sebagai langkah awal pencegahan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Januari, 2020.

“Ini bermakna pengimport boleh menjual kepada farmasi dan pasar raya dengan harga RM72.50 sekotak untuk membuat keuntungan kecil.

“Dengan keuntungan itu, mereka mungkin tidak mahu menjualnya lagi.

Bukan masa buat untung

Seorang pengimport peralatan perubatan yang enggan dikenali memberitahu The Malaysian Insight bahawa harga siling RM75 sekotak boleh menyebabkan krisis kekurangan bekalan.

“Harga siling Rm75 bukan isu kerana kami sudah berada dalam perniagaan ini selama 20 tahun dan mempunyai kilang di China untuk menghasilkan topeng.

“Tetapi pengimport yang tidak bertanggungjawab dan baru menyertai pasaran ini (kerana pandemik) mungkin tidak akan menjual stok mereka jika merasakan tidak membuat keuntungan.

“Jika mereka tidak dapat buat cukup keuntungan, mereka akan simpan stok atau jual di pasaran gelap atau negara lain yang kekurangan bekalan,” katanya.

Situasi ini boleh menyebabkan pengimport menjual bekalan itu di platform lain seperti media sosial.

Beliau berkata buat masa ini, pengimport membawa masuk topeng muka dengan harga sekitar RM60 sekotak.

“Dengan harga siling RM75 sekotak, mereka mungkin boleh jual stok yang ada dan kemudian berhenti mengimport kerana tidak cukup membuat keuntungan,” katanya.

Haminnuddin percaya ini bukan masanya untuk membuat keuntungan ketika negara menghadapi krisis kesihatan.

“Sebagai pengilang, kita biasa menjual pada harga RM6-RM8 sekotak dan masih mampu mendapat keuntungan kecil.

“Walaupun harga bahan mentah meningkat 600% sejak pandemik, tetapi harga RM75 masih memberi keuntungan yang baik.

“Masalahnya adalah pengimport yang tidak bertanggungjawab yang memasuki pasaran ini ekoran peningkatan jumlah permintaan,” kata Haminnuddin.

Haminnuddin berkata  Ideal Healthcare menghentikan pengeluaran bekalan perbuatan lain dan mengalihkan tenaga kerja syarikatnya untuk menghasilkan topeng muka dan pembasmi kuman bagi memenuhi permintaan pasaran. – 6 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen