Najib pemenang besar pada muktamar PAS


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Najib Razak dikatakan mempunyai hubungan peribadi yang kukuh dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan kerap bercakap tentang mempromosikan agenda Islam di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2017.

MUKTAMAR tahunan PAS akan berakhir hari ini. The Malaysian Insight menyenaraikan 4 perkara menonjol pada perhimpunan parti itu di Alor Setar, Kedah.

1) Najib Razak adalah pemenang terbesar

Beliau berada 2,440km jauh dari dewan utama di Alor Setar di mana perhimpunan tahunan PAS sedang berlangsung, tetapi boleh dikatakan, Presiden Umno dan Perdana Menteri Najib Razak muncul sebagai pemenang terbesar pada majlis tahun ini.

Keputusan PAS untuk bergerak bersendirian sangat bertepatan dengan rancangan pilihan rayanya untuk memastikan berlakunya pertembungan banyak penjuru dan memecahbelahkan undi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sumber dalaman Umno mengatakan Najib, yang kini berada di Manila bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-30, menjalin hubungan peribadi yang kukuh dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang pernah menganggap ahli politik Umno kafir. Mereka kerap dan sering bercakap tentang mempromosikan agenda Islam di Malaysia.

Dan walaupun Najib tidak dapat membentangkan rang undang-undang kontroversi untuk meningkatkan hukuman Syariah, Hadi menghargai perdana menteri kerana dikira sudah melakukan perkara yang terbaik: memberi peluang kepada PAS mempromosikan usul yang kemudian ditangguhkan pengundiannya di Dewan Rakyat yang pasti akan menolak rang undang-undang itu.

PAS dan Umno mungkin memburu bank undi Melayu yang sama tetapi Hadi tidak melihat Najib sebagai musuh politik. Apabila melihat Najib, beliau melihatnya sebagai seseorang yang akan dapat mengekalkan kekuatan kuasa Melayu dan mempertahankan Islam, serta mempertahankan hubungan saling menguntungkan dengan PAS. Beliau juga melihat seseorang yang berkongsi kebencian terhadap DAP, Dr Mahathir Mohamad dan Amanah.

1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin menjadi isu besar di kawasan bandar tetapi ia tidak mendapat perhatian pada muktamar PAS. Azmin Ali, Dr Mahathir dan DAP dilemparkan kata-kata sebagai penjahat pada kongres tahunan kali ini.

Najib? Beliau tidak langsung berada di dalam senarai sesiapa pun pada muktamar PAS. Bagaimana masa mengubah segalanya?

2) Kekuasaan Abdul Hadi Awang

Jangan tersilap, ini adalah parti Hadi. Beliau begitu kuat dalam PAS hari ini walaupun beberapa veteran parti tahu strategi bergerak solo untuk menghadapi PRU14 boleh menyebabkan parti Islam itu dibelasah di Malaysia Barat dan kehilangan Kelantan dalam proses ini.

Anaknya adalah ketua Pemuda yang baru dan tulang belakang konservatif parti memegang semua jawatan penting dalam PAS.

Malah golongan daripada progresif yang masih kekal dalam PAS, mereka hanya menjadi sisa; tidak penting dan berada di bahagian bawah.

Hadi mempunyai kuasa mutlak dalam PAS hari ini – begitu kuat sehingga mampu membawa mereka ke jalan yang mungkin berakhir dengan kekalahan pada pilihan raya tanpa sebarang bantahan.

3) Momen “pelik”

Ingin tahu bagaimana kepimpinan PAS terpisah daripada orang lain di negara ini?

Hanya membaca 10 muka surat ucapan presiden PAS pada perasmian kongres. Beliau bercerita tentang “tsunami hijau” yang melanda Malaysia semasa PRU14 dan membayangkan Malaysia yang berbilang kaum dan agama menyokong PAS untuk membawa revolusi keharmonian.

Beliau nampaknya tinggal di Malaysia yang berbeza. Sebelum PAS bergabung dengan PKR dan DAP, kehadirannya tidak disedari di pantai barat Semenanjung Malaysia. Memikirkannya sahaja sudah cukup menakutkan pengundi bukan Islam.

Hanya apabila mereka menyertai Pakatan Rakyat (PR) dan menerima pakai agenda pembaharuan, barulah ramai rakyat Malaysia mengundi calon mereka. Ketika itu, Cina dan India membuang rasa tidak yakin  terhadap PAS hanya kerana parti itu bercakap mengenai perubahan yang sebagaimana Anwar Ibrahim.

Apabila PAS meninggalkan PR, bukan Melayu menolak mereka. Di pilihan raya kecil Sungai Besar, calon PAS hanya berjaya mendapat kurang daripada 5% undi bukan Melayu.

Hadi bermimpi jika percaya bukan Melayu akan menyokong tsunami hijaunya.

Percubaannya mengaitkan ucapannya dengan ceramah tadbir urus yang baik, keadilan dan budaya politik lebih matang tidak akan berjaya mempengaruhi pengundi yang mengetahui apa dimaksudkan Hadi.

Partinya hanya memperoleh undi besar pada 2008 dan 2013 kerana mereka adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar yang membuatkan rakyat Malaysia teruja.

Keangkuhan boleh berbuat demikian kepada sesiapa sahaja – ia boleh membuat anda melupakan realiti.

4) Mengapa meneruskan perkahwinan yang pasti berakhir dengan perceraian?

Anda akan meneruskan perkahwinan dengan seorang lelaki atau wanita yang hanya mempunyai sedikit persamaan? Tidak.

Adakah anda bersedia meneruskan hubungan dengan seseorang yang tidak sukakan orang tua anda; tidak berfikir tentang prinsip anda dan percaya beliau adalah lebih baik dalam segala hal? Tidak.

Ya, berita PAS akan bertanding dalam pilihan raya akan datang di bawah panji Gagasan Sejahtera adalah satu tamparan kepada PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dua parti politik berasaskan Melayu dalam pembangkang.

Keadaan tidak berpihak kepada gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu untuk menewaskan calon BN dalam pilihan raya akan datang memandangkan ia menjadi pertandingan tiga penjuru.

Mengapa? Kerana calon pembangkang yang bertanding akan menyingkirkan antara satu sama lain, membuka jalan bagi calon Umno untuk menang.

Tetapi ada sesuatu lebih buruk berbanding kekalahan dalam pilihan raya. Ia lebih buruk kerana menginjak-injak prinsip, menjual jiwa dan negara anda hanya untuk merasai kuasa. – 1 Mei, 2017.



 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen