202 pelarian Rohingnya akan disaring esok, kata exco kesihatan Kedah


Zaim Ibrahim

PIHAK berkuasa kesihatan di Kedah esok akan menyaring 202 pelarian Rohingya yang menyelinap masuk ke Malaysia dari Myanmar.

Mereka kini ditahan sementara oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan mendarat di Langkawi, pada jam 5 pagi hari ini.

Exco Kesihatan Negeri Kedah, Ismail Salleh berkata mereka perlu diasingkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

“Pelarian Rohingya diletakkan di bawah tahanan APMM terlebih dahulu sementara menunggu keputusan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menetapkan pusat kuarantin.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri akan mengambil sampel mereka esok bagi tujuan saringan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah APMM Kedah/Perlis, Zulinda Ramly berkata 202 pelarian itu diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut kerana masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Mereka terdiri daripada 152 lelaki, 45 wanita serta lima kanak-kanak, katanya.

Beliau juga berkata agensi maritim Kedah dan Perlis sedang menyiasat aduan mengenai tiga dalang penyeludupan orang, yang dipercayai sudah melarikan diri semasa di laut.

Sementara itu, Ismail yang juga exco agama negeri berkata Lembaga Zakat Kedah juga akan membantu menyediakan bekalan makanan untuk mereka.

Pihak berkuasa juga sudah menghubungi Malaysian Relief Agency (MRA) selaku wakil Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) untuk menguruskan bantuan kepada pelarian itu, katanya.

Lebih 200 pelarian Rohingya hari ini dilapor mendarat dekat Pantai Teluk Nibong di Langkawi dan diadukan kepada polis dan APMM. – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen