KKM pertimbang perolehan mesin baharu uji Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Dengan peralatan dari China itu, KKM mampu melakukan penambahan 5,000 ujian saringan Covid-19 sehari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan mesin pengesan automatik dari China bagi menambah kapasiti ujian saringan Covid-19 di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mesin itu mampu menampung tambahan 5,000 ujian sehari berbanding kapasiti pada ketika ini.

KKM akan mendapatkan peralatan itu dari syarikat BGI Group dari China.

“Kita juga sedang melihat teknik baru untuk melakukan ujian PCR (polymerase chain reaction) dengan satu alat yang diimport dari China, yang juga automatik agar proses dapat dilakukan dengan lebih pantas. Mungkin dengan mesin ini, kita dapat lakukan tambahan 5,000 ujian dalam sehari,” katanya  dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Setakat ini, katanya, KKM telah menjalankan ujian terhadap 51,937 kes dengan 3,662 daripadanya - iaitu kira-kira 7.05 peratus daripada jumlah itu - didapati positif.

Sejumlah 43 makmal KKM dapat menjalankan ujian terhadap 11,500 kes sehari dan KKM merancang untuk menambah dua lagi makmal di Sandakan dan Tawau, katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan matlamat KKM adalah untuk dapat melakukan 16,500 ujian sehari dengan kadar segera.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata KKM juga sedang mendapatkan kit pengesanan jenis kedua Korea Selatan dan akan menguji keberkesanannya sebelum memutuskan untuk menambahnya atau tidak.

Kumpulan pertama kit pengesanan yang diterima dari Korea selatan sebelum ini didapati kurang berkesan ketika diuji.

“Kita juga sedang melihat kit pengesanan yang lain, kita bercakap tentang kit pengesanan pantas antigen. Esok kita akan dapat kit pengesanan baru dari Korea Selatan, kita harap ketepatannya lebih 80 peratus.” – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen