WALAUPUN pemilihan semula parti berjalan lancar, DAP masih belum tenang selagi kedudukan undang-undangnya dan kelayakannya bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tidak diumumkan secara rasmi.
Masih ada kemungkinan mimpi ngeri ketika pada PRU13 lalu boleh berulang lagi – di mana parti itu tidak dapat menggunakan logo roketnya pada PRU14.
Timbalan pengerusi parti itu, Gobind Singh berkata itulah sebabnya mengapa pemilihan semula itu amat penting walaupun hakikatnya ia tidak menarik perhatian ramai.
Perwakilan pada pemilihan semula yang diadakan 12 November lalu atas arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kebanyakannya mengundi wajah sama seperti pada 2013. Gobind dipilih semula ke dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang kemudian melantiknya sebagai timbalan pengerusi baharu.
Gobind yang juga ketua biro undang-undang parti berkata RoS masih belum membuat keputusan muktamad sama ada akan menerima keputusan pemilihan semula itu atau tidak.
Dan ketidaktentuan itulah yang boleh memincangkan kemampuan parti untuk meneruskan kempen menjelang PRU14 yang dikatakan akan diadakan pada suku pertama 2018.
“Kami selama ini tetap berasakan tidak ada sebab untuk mengadakan pemilihan semula. Pemilihan semula itu diadakan dengan protes,” kata Gobind kepada The Malaysian Insight.
“Kami mematuhi setiap syarat ditetapkan oleh RoS dan saya harapan RoS akan mengiktiraf pemilihan dan CEC baharu ini.”
Katanya, walaupun memenuhi semua syarat RoS untuk mengadakan dua pemilihan semula, iaitu pada 2013 dan minggu lalu, masa ada kemungkinan parti itu masih dalam keadaan terawang-awang.
Ini kerana di bawah Akta Pertubuhan, sesebuah parti perlu melaporkan pemilihan kepada RoS.
“Mereka boleh beritahu kami yang mereka tidak iktiraf pemilihan itu, seperti pada 2013. Itu sebabnya kami bawa kes ke mahkamah sebelum ini.”
Pada 2012, RoS mengiktiraf pemilihan DAP pada tahun itu sebagai tidak sah susulan aduan diterima daripada sesetengah ahli.
Susulan ketidaktentuan dengan RoS, mereka bimbang DAP tidak dapat menggunakan logo sendiri dalam PRU13, pada 5 Mei, 2013. Pada ketika itulah sekutunya PAS menawarkan parti itu menggunakan logonya jika DAP tidak dapat menggunakan roket.
Bagaimanapun, DAP kemudian dibenarkan menggunakan logo itu untuk PRU.
Ia kemudian mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
Namun, Gobind berkata RoS tidak pernah mengumumkan sama ada ia secara rasmi menerima keputusan pemilihan semula pada 2013 hingga Julai tahun ini – empat tahun selepas PRU diadakan.
Gobind berkata jurang empat tahun itu tidak adil kerana parti tidak dapat berfungsi sepenuhnya.
“Ia buat kami terawang-awang. Bagaimana kami sepatutnya beroperasi? Dan kami parti yang mengendalikan dua negeri (Pulau Pinang dan bersama PKR di Selangor). Ia sukar untuk kami,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Gobind tidak mahu mengetepikan kemungkinan masalah pada 2013 itu akan berlaku lagi dan DAP bersedia melawannya jika ia terjadi.
“Orang ramai biasanya mengenali DAP dengan roket dan bagi ahli DAP, roket itu sangat dekat di hati kami.
“Jadi bila keputusan seperti ini dibuat, di mana kami tidak dapat gunakan logo itu, ia sangat kontroversi dan kami tidak akan mengalah.” – 19 November, 2017.
Komen