Covid-19 ragut 4 lagi nyawa, 179 kes positif baru


Ragananthini Vethasalam

Sebanyak 179 kes positif baru Covid-19 turut direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 3,662. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

ANGKA korban Covid-19 meningkat kepada 61 orang apabila empat lagi kematian dicatatkan setakat 12 tengah hari hari ini, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan berkata tiga kes kematian melibatkan warga emas yang mempunyai sejarah penyakit kronik seperti diabetes.

Katanya 179 kes baru turut direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 3,662.

“Daripada kes baharu itu 46 kes berkaitan kluster perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

“Jumlah kematian akibat Covid-19 setakat ini adalah 61 kes, iaitu 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini, memaklumkan perkembangan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata seramai 99 pesakit Cvodi-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 48 daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan. 

Selain itu katanya, sebanyak 90 kes pulih dicatatkan dan dibenarkan keluar hospital.

Ini menjadikan keseluruhan kes pulih sebanyak 1,005.

Kes kematian ke-58 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mangsa mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dari kes ke-1031 dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac sebelum disahkan meninggal dunia pada 4 April jam 1.37 petang.

Kes kematian ke-59 melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Mangsa telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu sebelum disahkan meninggal dunia pada 4 April jam 3.40 petang.

Kes kematian ke-60 membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 53 tahun yang dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac 2020.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada 5 April jam 12.39 pagi.

Kes kematian ke-61 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah
pinggang. 

Mangsa telah dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 4 April jam 9.36 malam. – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen