Patuhi undang-undang, beri kerjasama pada polis, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri meminta orang ramai menghormati dan mematuhi arahan daripada anggota keselamatan yang mengendalikan sekatan jalan sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

MEREKA yang dipenjarakan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya tidak mematuhi arahan polis bahkan menghalang kakitangan keselamatan daripada menjalankan tugas mereka, kata Ismail Sabri.

“Mereka yang ditangkap dan dipenjarakan tidak hanya melanggar PKP tetapi mereka halang pihak berkuasa daripada menjalankan tugas mereka.

“Terdapat beberapa kejadian di mana pemandu cuba merempuh sekatan jalan raya. Itu bukan lagi kesalahan di bawah PKP tetapi ia sudah jadi kesalahan jenayah,

“Oleh itu, siasatan dijalankan bukan hanya kerana langgar perintah sekatan tetapi menghalang pegawai daripada menjalankan tugas mereka,” kata menteri pertahanan itu pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Majlis Keselamatan Negara di Putrajaya.

Ismail meminta orang ramai menghormati dan mematuhi arahan daripada anggota keselamatan yang mengendalikan sekatan jalan sepanjang tempoh PKP.

Menteri kanan itu turut merayu agar orang ramai tidak menghalang anggota polis daripada melakukan tugas mereka.

“Saya berharap orang ramai boleh memberikan kerjasama yang terbaik kepada polis dan tentera yang mengendalikan sekatan jalan raya.”

“Tolong jangan gunakan perkataan kasar terhadap mereka atau menghina mereka. Mereka melakukan tugas mereka untuk memastikan kita selamat,” katanya.

Kenyataan beliau itu tampil selepas ketidakpuasan hati ramai dengan hukuman berat yang dikenakan kepada pesalah PKP.

Aktivis dan peguam meminta polis membuat prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi menangani pesalah PKP.

Mereka berpendapat pesalah PKP tidak seharusnya diperlakukan sebagai penjenayah, dan mencadangkan bahawa denda adalah mencukupi dan bukannya penjara atau tahanan reman.

Gesaan aktivis dan pengamal undang-undang itu bertepatan dengan sentimen yang sama dari Jabatan Penjara, yang menggesa mahkamah untuk tidak memenjara pesalah PKP kerana ia menyebabkan kesesakan di penjara menjadikan penjarakan sosial tidak mungkin dapat dilaksanakan. 

Mereka mendesak hakim untuk menjatuhkan hukuman perkhidmatan masyarakat ke atas pesalah PKP yang ditahan.  – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen