GOBIND Singh meneruskan perjalanan yang bapanya, Karpal Singh mulakan dalam DAP hampir 40 tahun lalu iaitu untuk mengakhiri ketidakadilan undang-undang dan menghentikan salah guna kuasa dan rasuah.
Hari ini perjalanan yang sama itu membabitkan bekerja bersama sesiapa yang bersetuju dengan prinsip itu, termasuk Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang pernah memenjarakan bapanya.
Ini kerana prinsip itu hanya boleh dicapai apabila Putrajaya ditawan dan mengubah undang-undang ketika persekutuan memegang kuasa, kata Gobind, 44, yang dipilih sebagai timbalan pengerusi DAP, minggu lalu.
Dan untuk mendapatkan Putrajaya, DAP perlu bekerja dengan Dr Mahathir dan partinya, Bersatu, yang juga menunjukkan ia berkongsi matlamat DAP, kata Gobind yang juga ahli Parlimen Puchong.
Itulah laluan masa depan yang akan diambilnya sebagai timbalan pengerusi baharu parti yang dibina bersama oleh bapanya, “Mister Karpal”.
“Mr Karpal selalu kata tidak ada kawan atau musuh kekal tetapi yang kekal ialah prinsip. Dan perjalanan untuk mencapai prinsip itu perlu diteruskan,” katanya.
Prinsip itu termasuk memansuhkan undang-undang tidak adil yang membenarkan tahanan pencegahan dan yang melindungi individu berkuasa terbabit dalam rasuah.
“Saya akan teruskan perjalanan itu kerana itu yang saya rasa Mr Karpal mahu saya dan DAP lakukan.”
Usaha perjuangan itu dihargai
Gobind dipilih sebagai timbalan pengerusi parti, di bawah Tan Kok Wai, yang juga ahli Parlimen Cheras.
Bapanya dulu pernah menjadi timbalan untuk veteran parti itu Lim Kit Siang, pada awal tahun 2000.
Gobind memulakan langkah ke jawatan tinggi dalam parti, sama seperti Lim Guan Eng dan Chong Chieng Jen, dengan menjadi ahli biasa lebih 15 tahun lalu.
Kerjaya politiknya dalam parti berkembang menerusi sokongan diterima sebagai ketua biro undang-undang, jawatan yang dipegangnya selama sedekad.
“Kerja dalam biro undang-undang membawa saya ke seluruh negara kerana kami ada kes di setiap negeri. Ia juga beri saya banyak peluang bertemu ahli. Saya bersyukur saya dapat keyakinan mereka dan sokongan.”
Selain tugas guaman parti, beliau mendapat perhatian dalam negara kerana melakukan kerja pro bono untuk pelbagai individu dalam banyak kes di mana undang-undang kelihatan seperti disalahgunakan.
Antara kes yang terkenal ialah membabitkan pensyarah undang-undang Dr Azmi Sharom yang didakwa atas kesalahan menghasut kerana memberikan pandangan mengenai pelantikan menteri besar Selangor yang baharu.
Beliau juga mewakili keluarga bekas pegawai kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang ditemui mati selepas disoal siasat oleh badan pencegah rasuah.
Kes lain yang kurang popular membabitkan seorang pelukis yang dituduh mencuri hasil seni.
Gobind berkata semua rasa hormat itu bukan hanya kerana beliau memenangi kes itu.
“Perjuangannya itu yang penting. Menang satu bonus. Orang ramai iktiraf dan jika anda kalah sekalipun, ada ramai yang bersyukur atas usaha anda.”
Tidak seperti kebanyakan parti politik, perwakilan DAP memilih 20 ahli untuk berada dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). CEC kemudiannya akan memilih antara mereka pemegang jawatan, daripada pengerusi kepada setiausaha agung.
Pemilihan Gobind sebagai timbalan pengerusi tidak mengejutkan dan beliau sedar parti sedang membentuknya untuk mengisi kekosongan tempat bapanya. Beliau menerima undi kedua terbesar 1,198 kurang sedikit daripada Kit Siang, yang mendapat undi tertinggi.
“Saya bersyukur dan merendah diri dengan keyakinan dan sokongan ini. Tetapi saya tetap fikir ia tanggungjawab yang sangat berat.
“Menjadi ketua biro undang-undang dan timbalan ketua, dua perkara berbeza. Tugasnya lebih besar sekarang di peringkat nasional,” katanya.
Tugas baharu itu akan menyaksikan Gobind membantu pengerusi dan setiausaha agung dalam menguatkuasakan keputusan CEC.
Masa depan lebih penting
Karpal meninggalkan kesan besar kepada parti dan landskap politik negara.
Pemerhati menggambarkan beliau sebagai hati nurani DAP yang memastikan ia kekal dengan prinsipnya walaupun mengancam kerjasamanya dengan sekutu pembangkang lain.
Pendirian tegas Karpal terhadap kanun jenayah syariah kontroversi atau hudud yang dibawa PAS, dengan amaran ia hanya boleh dilaksanakan dengan “langkah mayatnya” dulu, menyebabkan hubungan DAP dengan parti Islam itu keruh ketika masih bersama dalam Pakatan Rakyat.
Jadi apabila DAP mula bekerjasama dengan Dr Mahathir, orang datang bertemu Gobind dan beritahunya yang bapanya tidak akan pernah bersetuju dengan perkara itu.
Lagi pula, bekerjasama dengan PAS, tidak sama bekerjasama dengan “bekas diktator” yang membina sistem yang ditentang oleh Karpal selama hidupnya.
Malah, Dr Mahathir menahan Karpal dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, kali pertama ketika Ops Lalang pada 1987.
Ketika beliau menang permohonan habeas corpus terhadap penahanan itu, beliau dibebaskan pada 1988 dan kemudian ditahan semula. Karpal akhirnya bebas pada 1989.
“Ramai cakap pada saya Mr Karpal tidak akan setuju untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir. Tetapi saya tidak begitu pasti ia tepat.”
Ketika DAP dapat membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dan PRU13, parti itu dan Karpal sedar era baharu sedang menanti di depan mereka, kata Gobind.
Ini bermakna DAP, sejak penubuhannya pada 1965 hanya menyangka akan menjadi pembangkang setia negara, tetapi kini ada potensi menjadi kerajaan yang berdaya maju, katanya.
“Rakyat selesa dengan kita sebagai kerajaan kerana mereka lihat pencapaian kita.”
Itu membuatkan Karpal dan DAP sedar yang suatu hari nanti matlamat dan prinsip mereka akan tercapai, katanya.
Tetapi untuk melakukannya, ia tidak boleh berjuang dalam pilihan raya secara bersendirian dan memerlukan sekutu yang berkongsi matlamatnya.
“Prinsip itu konsisten tetapi pendekatannya berubah. Ketika itu kami sedar kami perlu bekerjasama, bagi memastikan pertandingan satu lawan satu untuk memberikan cabaran serius terhadap BN.”
Gobind berkata dalam konteks itulah hubungan dengan Dr Mahathir dan Bersatu terbentuk dan beliau percaya Karpal tidak akan membantahnya.
Sama seperti bagaimana Karpal tidak membantah untuk bekerjasama dengan PAS sehingga kepimpinan itu berubah pada 2015.
“Bila Dr Mahathir dan Bersatu komited untuk berubah dan ia selaras dengan prinsip kami, maka kami perlu melihat kepada perkara lebih penting demi kepentingan Malaysia.” – 19 November, 2017.
Komen