Sokong kerajaan Muhyiddin bukan khianat, kata Dr Maza


Mereka yang menyokong Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional tidak boleh dianggap khianat, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

MANA-MANA pihak yang menyokong kerajaan sekarang, yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tidak boleh digelar pengkhianat kerana ia adalah kerajaan yang sah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin. 

Beliau juga berpendapat janji peralihan kuasa perdana kepada Anwar Ibrahim tidak membabitkan majoriti rakyat sebaliknya hanyalah janji bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik tersebut. Itu urusan mereka.

“Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan,” katanya dalam penjelasan yang disiarkan di Facebook.

Mohd Asri menulis penjelasan panjang itu sebagai menjawab soalan seorang penyokong Amanah, yang tidak dinamakan, yang kecewa dengan sikap ahli agama itu menyokong kerajaan yang dianggap pengkhianat.

Dalam jawapannya, Mohd Asri juga sekali lagi memetik surat peribadi Dr Mahathir kepadanya, yang ditulis pada Oktober 2019.

Dalam surat itu, Dr Mahathir antara lain menulis bahawa beliau sudah berjanji mengenai penggantinya dan beliau tidak boleh mungkir janji.

“Orang lain tidak janji apa-apa. Mereka boleh pilih siapa sahaja. Tetapi saya (Dr Mahathir) nak pilih orang lain, ini salah jika saya lakukannya,” kata surat itu, yang dipetik oleh Mohd Asri. 

Jelas mufti itu, surat tersebut menunjukkan hanya Dr Mahathir yang terikat dengan janji tersebut.

“Sudah pasti Agong tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu.

“Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada,” katanya.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dengan Anwar, yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara, sebagai penggantinya.

Persetujuan itu, yang dinamakan Muafakat Pakatan Harapan, disepakati oleh semua empat parti dalam PH iaitu Bersatu, PKR, DAP, dan Amanah.

Pentadbiran PH bagaimanapun runtuh pada 24 Februari lalu apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menarik keluar partinya dari gabungan itu, sementara Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri.

Pada hari yang sama, sembilan ahli Parlimen PKR keluar parti menyokong Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin yang dipecat.

Jawapan penuh Mohd Asri kepada soalan “Kenapa mufti sanggup sokong kerajaan pengkhianat?” boleh dibaca di sini. – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen