SATU kebuk khas untuk menyaring pesakit Covid-19 yang dibina satu pasukan sukarelawan perubatan, arkitek dan jurutera Malaysia akan mula diuji esok di sebuah hospital di Kuantan.
Ketua projek itu Dr Ahmed Kamarulzaman berkata keberkesanan prototaip itu akan diuji untuk memeriksa dan merawat pesakit yang disyaki dijangkiti coronavirus.
“Kami sekarang bina satu prototaip dahulu, jika peruntukan mencukupi daripada penyumbang baru kita bina lebih banyak,” tambahnya.
Menurutnya ujian itu akan dapat menunjukkan jika kebuk tersebut sesuai digunakan dan dapat ditempatkan di semua hospital merawat Covid-19 pada waktu ini.
“Projek kebuk berkenaan kini di fasa akhir pembinaan dan boleh digunakan pertama kali Isnin depan.
“Esok (Ahad) kita akan uji buat kali terakhir dengan pemantauan daripada pakar-pakar perubatan, mungkin akan ada beberapa penambahbaikkan.
“Kemudian, hari Isnin kita boleh guna secara total di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang,” katanya.
Struktur IES Cubicle itu memisahkan ruang untuk pegawai perubatan dan pesakit dalam siasatan itu direka bagi mengurangkan penggunaan alat pelindung diri (PPE) dan kontak dengan pesakit.
Ia nama singkatan bagi Isolation, Examination, Sampling Cubicle bagi memeriksa seseorang individu yang suspek dijangkiti Covid 19 serta merawat pesakit yang positif wabak tersebut, katanya.
Jelas Dr Ahmed, fungsi utamanya untuk memisahkan perawat, sama ada doktor atau jururawat dengan pesakit pada jarak selamat semasa prosedur dijalankan.
Perawat itu dapat memeriksa pesakit dengan sarung tangan melalui lubang khas di dinding lutsinar yang memisahkan mereka dengan pesakit semasa mengambil sampel atau membuat pemeriksaan.
Dengan cara itu juga, perawat tidak perlu berpanas dengan menggunakan PPE tahap tinggi ataupun bilangan PPE yang banyak, kata Dr Ahmed.
“Jika PPE biasanya dipakai hingga tahap ketiga dan paling kurang selama empat jam, kini perawat boleh memakai PPE pada tahap kedua atau lebih rendah.
“Doktor atau perawat juga boleh mengawal suhu persekitaran mengikut kesesuaian,” jelasnya.

Katanya, penggunaan PPE akan bertambah apabila semakin banyak kes muncul sedangkan bekalan untuk barangan tersebut terhad yang akan menyukarkan petugas lain.
Tambahnya, beliau juga tidak mahu kakitangan kesihatan menjimatkan penggunan PPE sehingga mengabaikan kesihatan diri.
Katanya, idea untuk membina kebuk tersebut berdasarkan inkubator bayi dan ia diteruskan selepas mendapati pasukan Korea Selatan menggunakan kaedah serupa.
Oleh itu beliau yakin idea tersebut dapat diguna pakai di Malaysia dan kini ia dapat dibina dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan.
Katanya, Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia, Medical Mythbusters Malaysia, Ini Sains Beb, dan Yayasan Muamalat Belia, yang banyak bantu daripada segi kewangan.
“Kumpulan kita ada enam orang doktor yang kesemuanya merupakan petugas barisan hadapan. Selebihnya mereka sumbangkan idea untuk mantapkan projek ini.
Katanya, Hospital Tengku Ampuan Afzan dipilih kerana mengendalikan kes pesakit dalam siasatan dan pesakit yang sah dijangkiti Covid-19.
Idea beliau kini telah pun mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).
“Pihak KKM sambut baik projek ini, saya sendiri ada melakukan perbincangan dengan KKM untuk tambah baik.
“MOSTI juga kini akan membina lima unit menggunakan idea saya yang akan diletakkan di hospital-hospital zon merah di Johor dan Lembah Klang,” jelasnya.
Jika projek itu berjaya, beliau juga akan meletakkan kebuk saringan tersebut di klinik daerah serta membina unit yang boleh bergerak untuk dibawa ke mana-mana sahaja.
Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Bank Islam, atas nama Yayasan Muamalat Belia bernombor 06028010030038.
Katanya, hanya dengan sumbangan orang ramai, pihaknya mampu membina lebih banyak kebuk EIS untuk membantu pasukan perubatan mengekang penularan Covid 19. – 5 April, 2020.
Komen