AKTIVIS Orang Asli Yusri Ahon disekat pihak berkuasa daripada mendapatkan bekalan makanan yang diperlukan 30 buah keluarga suku kaumnya ketika perintah kawalan pergerakan.
Polis Pahang menghalang Yusri daripada melakukan perjalanan ke pekan Kerdau, Pahang dari kampungnya di Sungai Mai untuk mendapatkan bekalan makanan disediakan kumpulan masyarakat sivil untuk penduduk kampungnya.
Kesannya, 30 buah keluarga di Kampung Sungai Mai hanya mempunyai bekalan terhad makanan ruji seperti beras dan minyak masak sehinggalah pihak berkuasa mengubah fikiran mereka atau bantuan kerajaan sampai ke kawasan itu.
“Saya minta kebenaran polis daerah dua kali untuk pergi ambil bekalan dan kedua-duanya ditolak mereka,” kata Yusri daripada Jaringan Orang Asli Semenanjung (JOAS) kepada The Malaysian Insight.
Pengalaman Yusri itu adalah hanya satu daripada seribu satu kisah dihadapi Orang Asli ketika perintah kawalan pergerakan kini sudah masuk minggu ketiga.
Kesukaran mereka diburukkan apabila mereka dipaksa keluar daripada hutan adat mereka sehingga tidak mampu bercucuk tanam secara tradisional, katanya lagi yang juga naib presiden JOAS.
“Dahulu kami boleh tanah padi huma dan ubi kayu. Tetapi sebab kami tak boleh buat begitu lagi, kami sekarang bergantung kepada bekalan kedai berhampiran.”
Tetapi, disebabkan penempatan Orang Asli selalunya terletak di pedalaman Semenanjung Malaysia, bantuan lambat sampai dan dianggarkan hanya 20% perkampungan Orang Asli seluruh negara sudah menerima bantuan kerajaan atau NGO, tambahnya.
“Ada bantuan kerajaan Pahang tetapi ia diutamakan kepada warga emas dan golongan kelainan upaya. Jadi tak semua dapat bantuan dalam PKP, semua Orang Asli kini dianggap ‘rentan’ kerana mereka tiada pendapatan.”
PKP yang dilaksanakan juga menyekat penyampai bantuan daripada NGO.
“NGO ini hanya boleh sampai di Kerdau untuk beri bekalan makanan. Jadi, sepatutnya saya pergi ke sana dan ambil,” kata Yusri lagi.
“Tetapi disebabkan PKP, saya dilarang melakukan perjalanan walapun saya perlu pergi untuk dapat barangan keperluan untuk keluarga ini.”
Kerdau di Pahang terletak hampir 29km dari perkampungan Yusri, Kampung Kuala Mai.
PKP bermula 17 Mac lalu untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di Malaysia yang setakat ini sudah membunuh 57 orang dan menjangkiti 3,483 orang.
Bermula 2 April lalu, perjalanan mereka yang tidak terlibat dalam perkhidmatan penting juga dihadkan dalam lingkungan 10km daripada kediaman mereka.
Majlis Keselamatan Negara juga menyekat pergerakan kumpulan masyarakat sivil daripada memberikan bantuan langsung kepada kumpulan rentan seperti orang miskin, Orang Asli, kelainan upaya dan pelarian.
Sebuah lagi kumpulan Orang Asli, Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC) berkata semua 860 tok bidan seluruh negara juga sudah menutup akses ke kampung mereka sebelum pelaksanaan PKP lagi.
“Mereka dapat arahan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang mengarahkan semua kampung ditutup kepada orang luar,”kata Pengarah Eksekutif COAC Dr Colin Nicholas.
Suku kaum yang tinggal berhampiran hutan seperti Batek dan Temiar pula berpindah lebih dalam ke hutan untuk melarikan diri daripada wabak Covid-19.
COAC bersama-sama Impian Malaysia dan Raleigh International kini sedang mengumpul dana untuk disalurkan terus kepada perkampungan Orang Asli.
“Duit akan diberikan terus kepada penyelaras tempatan perkampungan itu dan digunakan untuk membeli barangan daripada kedai berhampiran,” kata Nicholas.
“Dengan ini kita dapat bantu Orang Asli dan bekerja dalam kerangka sekatan PKP.”
Setakat hari ini, tabung itu sudah menyerahkan RM20,700 daripada RM47,100 yang berjaya dikumpul.
2,111 orang daripada 423 keluarga menerima manfaat daripada tabung itu. – 5 April, 2020.
Komen