Orang Asli berisiko tercicir terima bantuan Covid-19 Putrajaya


Aminah Farid

Proses permohonan, pendaftaran dan penyampaian Bantuan Prihatin tidak mempertimbangkan masalah dihadapi Orang Asli, kata aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

AKTIVIS dan sukarelawan bimbang komuniti Orang Asli tidak akan menerima manfaat bantuan kewangan dijanjikan Putrajaya di bawah pakej rangsangan ekonomi mengurangkan beban wabak Covid-19.

Kata mereka, kebanyakan Orang Asli tidak didaftarkan dalam sistem, tidak mempunyai akaun bank dan tinggal di kawasan pedalaman yang menyukarkan perhubungan terutama sekali sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Minggu lepas, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kedua berjumlah RM250 bilion yang bermatlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi negara untuk berdepan cabaran wabak maut yang melanda dunia itu.

Antaranya, Bantuan Prihatin- skim bantuan kewangan khas untuk golongan B40- yang sebahagian besar Orang Asli berada dalam kumpulan itu.

Bantuan kewangan itu akan diberikan menerusi pendaftaran automatik dan manual menggunakan akaun bank.

Bantuan sebanyak RM1,600 untuk setiap isi rumah diberikan menerusi pendaftaran akaun bank. Di sinilah semua masalah bermula.

CEO Global Peace Foundation Dr Teh Su Thye berkata antara faktor yang sepatutnya dipertimbangkan adalah tentang komuniti atau perkampungan Orang Asli yang tidak berdaftar.

Menurutnya, terdapat ramai Orang Asli tanpa dokumen yang mungkin tidak berada dalam pangkalan data kerajaan.

Selain itu, keperluan mempunyai akaun bank juga adalah masalah untuk Orang Asli yang kebiasaannya tidak celik teknologi termasuklah soal perbankan elektronik.

“Memandangkan kebanyakan bantan kewangan ini disalurkan secara terus (jadi masalah) kerana ramai Orang Asli tidak ada akaun bank,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bank dan ATM pula tidak dapat dikunjungi Orang Asli kerana mereka tinggal jauh dari bandar dan selalunya penempatan mereka berhampiran atau di dalam hutan.

Dr Teh menjelaskan sekiranya Orang Asli diperlukan mengisi borang permohonan, ia juga akan mencetuskan masalah kerana kebanyakan mereka buta huruf.

Katanya, tempoh bantuan akan disalurkan yang dijangka pada hujung April juga menyukarkan kebanyakan Orang Asli yang kini sudah bergelut meneruskan hidup.

“Saya tengok berita yang Bantuan Prihatin hanya akan disalurkan pada hujung April. Tetapi soal kehidupan sehari-sehari tidak boleh tunggu selama itu,” katanya.

Pusat Prihatinan Orang Asli (COAC) pula berkata walaupun 99% Orang Asli adalah golongan B40, besar kemungkinan tidak semua keluarga Orang Asli akan menerima bantuan dijanjikan kerajaan.

“Berdasarkan pengalaman, kami tahu tak semua isi rumah akan dapat dicapai atau bantuan yang diterima mencukupi,” kata kumpulan NGO itu dalam satu coretan di Facebook.

Menurut COAC, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata mereka akan menyalurkan bantuan kepada hampir 30,000 keluarga, sedangkan jumlah sebenar keluarga Orang Asli lebih 50,000.

“Terdapat 20,000 keluarga lagi tidak dikira.

“Dan sekurang-kurangnya 192 perkampungan Orang Asli (tidak dikira) yang selalunya tidak layak mendapat bantuan ‘rasmi’”, kata kumpulan itu. – 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen