Sukarelawan Sarawak hasilkan PPE untuk petugas kesihatan tangani Covid-19


Desmond Davidson

SEKUMPULAN 500 sukarelawan di Sarawak bergabung tenaga membantu menghasilkan alat perlindungan diri (PPE) kepada petugas kesihatan di negeri itu bagi mengekang pandemik Covid-19.

Kumpulan sukarelawan itu diwakili pelbagai latar belakang termasuk jurutera, suri rumah, pesara, pelajar dan tukang jahit untuk menghasilkan peralatan penting itu kepada barisan depan.

Antara peralatan yang dihasilkan termasuk topeng muka gred N95, pelindung muka pakai buang, baju perubatan, PPE guna semula dan peralatan perubatan seperti ventilator.

Bahan mentah untuk alat perlindungan muka seperti plastik jernih, getah, pelekat dan span dihantar ke rumah sukarelawan sebelum dikumpul semula selepas disiapkan.

Salah seorang sukarelawan, Kenneth Chai berkata kumpulan itu yang menggunakan tanda hashtag, #jagasamadirik sudah menyiapkan 10,000 pelindung muka pakai buang untuk Hospital Umum Sarawak di Kuching.

Chai berkata alat pelindung muka buatan sendiri itu dihasilkan kira-kira 100 sukarelawan di rumah masing-masing di Kuching dan Kota Samarahan.

Mereka sudah menghantar 8,000 alat itu ke hospital tersebut setakat ini.

Kumpulan itu berharap dapat menyalurkan bantuan ke pekan lain seperti Sibu, Bintulu dan Miri serta mencari pihak yang memiliki mesin pencetakan 3D.

Selain itu mereka juga mencari sukarelawan dari pakar 3D, elektronik, jurutera komputer, tukang jahit dan sesiapa saja yang sudi menghulurkan bantuan.

Chai merupakan ahli teknikal kumpulan dalam talian milik sebuah pergerakan global dikenali sebagai Open Air Project.

Beliau berkata topeng muka gred N95 yang dihasilkan untuk doktor, jururawat dan petugas perubatan yang mengendalikan kes Covid-19, kini sedang diuji.

Beliau berharap ujian itu akan dapat dilakukan secepat mungkin kerana mereka perlu melakukan penambahbaikan sebelum menghantarnya.

Topeng muka itu direka oleh seorang ahli mereka dari Eropah yang berkongsi cara membuatnya.

Chai berkata hospital tersebut buat masa ini memohon topeng muka yang mempunyai penapis. – 5 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen