KALANGAN aktivis dan peguam menggesa polis untuk tampil dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu dalam mengendalikan kes pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Mereka merasakan pesalah yang terlibat tidak wajar dilayan seperti penjenayah dan mencadangkan bahawa denda sudah memadai berbanding mengenakan hukuman penjara atau direman untuk didakwa.
Gesaan mereka ini dibuat selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah agar tidak memenjarakan pesalah PKP kerana tindakan itu akan menyebabkan jumlah banduan di penjara bertambah dan melebihi kapasiti.
Selain itu Jabatan Penjara juga berkata hukuman penjara akan menyukarkan usaha penjarakan sosial dan mereka meminta hakim mengenakan hukuman perkhidmatan sosial kepada pesalah.
Pengarah Eksekutif Suara Rakyat (Suaram) Sevan Doraisamy berkata polis perlu memperkenalkan SOP baru dalam mengendalikan kes kesalahan PKP.
Beliau berkata penahanan pesalah PKP membebankan polis dengan kerenah birokrasi yang tidak diperlukan.
“Sejak PKP dilaksanakan, rutin harian kita sudah berubah. Walaupun tujuan pelaksanaan perintah ini demi kebaikan, tindakan undang-undang terhadap pesalah hanya memburukkan lagi situasi.
“Adakah tahanan dibenarkan mendapat khidmat perundangan ketika ditahan? Jika dibenarkan, maka peguam perlu melaksanakan tugas untuk bertemu anak guam dan keluarga tahanan juga mempunyai hak untuk bertemu mereka.
“Ini semua bebanan yang tidak diperlukan oleh barisan depan yang terdedah kepada virus.
“Suaram berharap polis akan memperkenalkan sistem baru untuk mengendalikan kes pelanggaran PKP,” kata Sevan.
Sevan juga merujuk laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 2 April yang menyatakan penahanan mereka yang melanggar PKP tidak wajar dibuat dan kes itu tidak perlu diklasifikasikan sebagai kes jenayah.
“Menurut seorang peguam yang dilantik PBB, Agnes Callamard, penahanan tidak perlu dilakukan terhadap mereka yang melanggar MCA dan ia bukannya kes jenayah.
“Kalangan mereka tidak mempunyai pilihan selain keluar mencari makanan. Dalam situasi ini, mereka tidak perlu dihukum. Pasti ada cara untuk mengendalikan kes ini.
“Dengan menahan mereka di lokap, ia akan memburukkan situasi dan tindakan memenjarakan mereka yang tidak mampu membayar denda adalah lebih berbahaya.” – 4 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen