Kes import Covid-19 berisiko lonjak jumlah jangkitan, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengulas mengenai risiko kes import Covid-19 di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kerana mereka berpotensi menjadi pembawa virus Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jika rakyat Malaysia yang pulang itu tidak diuruskan dengan baik, kes jangkitan akan meningkat pada pertengahan April.

“Apa yang kita bimbangkan adalah rakyat Malaysia yang ke luar negara. Yang kita ketahui kini adalah pelajar yang pulang ke tanah air dari luar negara.

“Jadi, (situasi) ini menjadi satu lagi cabaran untuk kita kerana mungkin akan ada kes import. Gelombang pertama berkait dengan pelancong dari China.

“Sesiapa saja yang masuk ke negara ini, berpotensi membawa virus itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kebimbangan utama KKM adalah kes import dan mereka yang tidak mempunyai simptom akan dikuarantin manakala mereka yang mempunyai simptom akan dirawat di hospital.

“Ini akan mengambil masa dua minggu. Ini yang kami bimbangi dan sebab itu kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jumlah kes boleh meningkat kerana pelajar dan mereka yang bekerja di luar negara pulang ke tanah air.”

Beliau berkata pada awalnya hanya lima negara yang berisiko iaitu China, Korea, Jepun, Itali dan Iran tetapi kini hampir 172 buah negara mempunyai kes Covid-19.

“Sebagai contoh, lihat saja kes di Amerika Syarikat, Sepanyol, Britain dan negara-negara lain.

“Mereka yang pulang dari negara ini berkemungkinan membawa masuk jangkitan.” – 4 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen