Bantuan makanan penduduk Machang Bubok dicuri


Zaim Ibrahim

Sebahagian bahan makanan yang disimpan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Alma, Bukit Mertajam. – Gambar Facebook, 4 April, 2020.

BAHAN makanan bernilai hampir RM2,000, sumbangan orang ramai dan kerajaan Pulau Pinang, untuk penduduk terjejas akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) di Machang Bubok, di Bukit Mertajam, dicuri awal pagi semalam, kata pejabat wakil rakyatnya.

Antara yang dicuri ialah beras, bihun, mi segera, dan makanan dalam tin, kata seorang pegawai kepada Adun Machang Bubok Lee Khai Loon yang enggan dikenali.

Selain makanan, turut dicuri ialah tiga alat pendingin hawa yang dipasang di dewan itu.

Katanya, mereka menyedari kejadian itu awal petang semalam ketika mahu menambah stok makanan yang disimpan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) di Alma, Bukit Mertajam.

“Kami sedar dewan dipecah masuk pada pukul 1 tengah hari semalam dan buat aduan polis pada jam 5 petang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah ada kesan pecah masuk pada pintu di bahagian tepi dewan itu.

Penghawa dingin turut dicuri dalam kejadian yang berlaku di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Alma, Bukit Mertajam. – Gambar Facebook, 4 April, 2020.

Kejadian itu bagaimanapun tidak menjejaskan operasi bantuan kerana stok makanan yang diperlukan sedang ditambah, jelasnya.

“Walaupun kos jadi lebih meningkat dan ganggu persiapan kami, tetapi tidak mengganggu lebih kurang 100 keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Pihaknya percaya kejadian berlaku sekitar jam 2 atau 3 pagi Jumaat, disyaki dilakukan oleh penagih dadah yang tinggal berdekatan dewan itu.

“Ada orang di kawasan itu ternampak dua tiga orang masuk ke dewan ini tetapi tidak berani bertindak,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan pasukan polis untuk membuat siasatan lebih lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supt Mohd Mustafa Bidin mengesahkan menerima laporan kecurian itu pada petang tadi.

Adun Machang Bubok Lee Khai Loon (kiri) bersama pegawainya bertemu dengan anggota polis susulan kes kecurian bekalan makanan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Alma, Bukit Mertajam. – Gambar Facebook, 4 April, 2020.

Katanya, kes masih dalam siasatan dan polis belum mengenal pasti suspek.

“Siasatan mendapati barang-barang makanan yang hilang adalah sumbangan dari Lee Khai Loon, orang perseorangan,dan pihak badan masyarakat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah masuk bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – 4 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen