EMPAT lagi kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 150 kes baru jangkitan turut direkodkan, menjadikan keseluruhan kes jangkitan meningkat kepada 3,483 kes, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, empat kematian itu dicatatkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka keseluruhan korban naik kepada 57 orang iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan 150 kes baharu yang direkodkan hari ini, 80 kes daripada kluster tabligh.
Katanya setakat ini, 99 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 50 daripadanya menggunakan alat bantuan pernafasan.
“Seramai 88 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih seramai 915 orang,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata kematian ke-54 merupakan wanita tempatan berusia 85 tahun dan mempunyai sejarah penyakit jantung.
Mangsa meninggal dunia pukul 4 petang semalam selepas dirawat di Institut Jantung Negara sejak 23 Mac.
Beliau berkata kes kematian ke-55 merupakan wanita tempatan berusia 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.
Mangsa dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra sejak 18 Mac sebelum meninggal dunia pukul 4 petang semalam.
“Kes kematian ke-56 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.
“Beliau mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1031 dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac sebelum meninggal dunia 4.16 petang semalam.
“Kes kematian ke-57 merupakan lelaki tempatan berusia 61 tahun yang meninggal dunia pukul 10.52 malam semalam di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Mangsa mempunyai rekod kesihatan kencing manis,” katanya. – 4 April, 2020.

Komen