KERAJAAN berupaya menguruskan wabak Covid-19 termasuklah mempunyai pusat kuarantin mencukupi untuk mereka yang perlu menjalaninya, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri pertahanan yang juga menteri kanan itu berkata terdapat 90 buah pusat kuarantin di seluruh negara yang boleh menempatkan sehingga 40,000 orang.
Tambahnya, setakat ini, sejak 18 Mac lalu, hanya 4,933 orang ditempatkan di pusat itu.
“Pusat itu boleh menempatkan 40,000 orang dan ini lebih daripada cukup,” katanya lagi.
“Semalam sahaja 1,088 orang dikuarantin dan daripada jumlah itu, 711 adalah mereka yang tiba di KLIA. Kita sudah jelaskan yang rakyat kita yang tiba melalui KLIA akan dikuarantin selama 14 hari.
“Bagi mereka yang transit di KLIA sebelum mendarat di Sabah dan Sarawak, mereka akan dikuarantin di Sabah dan Sarawak.
“Bagaimanapun, jika penerbangan mereka ditunda atau jika penerbangan mereka dalam dua atau tiga hari lagi, mereka akan dikuarantin di pusat kuarantin sebelum kembali ke negeri masing-masing,” jelas Ismail.
Dalam perkembangan lain, Ismail mendedahkan 426 kawasan di 11 buah negeri sudah menjalani proses sanitasi semalam.
Ismail berkata proses itu melibatkan 170 buah balai polis dan 38,140 buah flat kos rendah di kawasan berisiko tinggi.
“Setakat semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memulakan proses sanitasi di 426 kawasan di 11 negeri.
“Bagi bangunan berstarta, mesyuarat hari ini bersetuju membenarkan pejabat pengurusan dibuka seperti biasa sepanjang PKP tetapi dengan hanya dua pekerja dibenarkan datang bekerja,” tambahnya.
PKP Malaysia peringkat kedua dijangka berakhir pada 14 April ini.
Sepanjang tempoh ini, semua kedai runcit, pasar raya, restoran dan stesyen minyak hanya dibenarkan beroperasi bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja.
PKP dikuatkuasakan selepas berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara.
Sehingga semalam, terdapat 3,333 kes positif Covid-19 dan 53 kematian dilaporkan di negara ini. – 4 April, 2020.
Komen