Ibu tunggal kental ambil upah hantar barang dapur semasa PKP


Diyana Ibrahim

Nur Shafira Abd Rahim ambil upah membeli dan menghantar barang dapur bagi menyara kehidupan keluarga sepanjang tempoh PKP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 April, 2020.

SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu penjual nasi kerabu, Nur Shafira Abd Rahim hilang punca pendapatan kerana terpaksa menutup gerainya.

Ibu tunggal 34 tahun itu kini terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara keluarga dengan mengambil upah membeli dan menghantar barang dapur bagi menyara kehidupan keluarga.

Biarpun tahu berdepan dengan risiko tinggi terdedah dengan wabak Covid-19, Nur Shafira bersama anaknya tetap kental mencari rezeki demi sesuap nasi.

Setiap hari Nur Shafira akan ke pasar raya yang jaraknya kira-kira 25 minit perjalanan dari rumahnya Kampung Pulau Meranti Puchong untuk membeli barang yang dipesan pelanggannya.

Wanita tabah itu berkata biarpun melalui rutin yang memenatkan dan hanya sedikit rehat, namun dia tidak mempunyai pilihan.

“Sekarang ini sayalah ibu dan ayah kepada anak-anak saya. Saya ketua keluarga yang perlu cari pendapatan untuk menyara anak.

“Bila jadi macam ini (hilang pendapatan) saya tak boleh kata tidak dan hanya tunggu mengharapkan bantuan, saya kena cari alternatif macam mana untuk tanggung kehidupan anak-anak.

“Walau sehari dapat RM50 pun bagi saya dah cukup,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight di Puchong.

Pendapatan tak tetap

Nur Shafira berkata operasi hariannya bergantung kepada permintaan. Pada hari tertentu wanita itu hanya mengambil upah membeli barang dapur saja atau menghantar ikan timbang.

Nur Shafira Abd Rahim dibantu anaknya, Muhammad Shakir Aidil Mohd Samsani melihat senarai barangan pelanggan yang perlu dibeli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 4 April, 2020.

Wanita itu berkata ada juga hari yang dia akan melakukan kedua khidmat itu secara serentak.

Caj yang dikenakannya pula sebanyak RM10 bagi upah beli barang dan RM5 bagi caj penghantaran untuk sekitar Puchong.

“Dalam sehari saya boleh dapat dalam RM80- RM100 sehari untuk upah beli barang dan penghantaran barang dapur.

“Kalau untuk penghantaran ikan pula biasa dalam sehari dapat RM100 hingga RM150 bergantung berapa rumah yang saya dapat pergi,” katanya.

Wanita itu bersyukur kerana mendapat sambutan mengalakkan sejak memulakan khidmatnya yang kini tular di media sosial.

“Permintaan sekarang alhamdullilah tidak putus-putus orang tanya. Terlalu banyak permintaan dan pelanggan biasanya memahami (kelewatan disebabkan permintaan tinggi),” katanya.

Sepanjang proses pembelian dan penghantaran, Nur Shafira akan sentiasa dibantu oleh anak lelakinya, Muhammad Shakir Aidil Mohd Samsani.

Tugas itu lebih mencabar kerana kesemua barangan itu perlu dihantar dengan menaiki motosikal.

Pada kebiasaannya Nur Shafira akan meletakkan sebahagian barang di dalam bakul motosikal dan selebihnya dipegang oleh anaknya.

“Motosikal ini saya beli dengan hasil jual nasi kerabu,” katanya yang menunggang motosikal jenama SYM berwarna hitam itu.

PKP pada peringkat awal dikuatkuasa dikuatkuasa sehingga 31 Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, namun kini dipanjangkan sehingga 14 April.

Dalam tempoh kawalan ini, rakyat tidak dibenarkan berkumpul dan berada di luar rumah manakala kebanyakan industri yang tidak penting dan pejabat tutup.

Rakyat juga hanya dibenarkan keluar rumah untuk membeli makanan, keperluan dan untuk mendapatkan perubatan dan bertugas di sektor penting negara.

Arahan itu menjejaskan kegiatan ekonomi dan memberi kesan kepada peniaga kecil seperti Nur Shafira.

Hanya berserah kepada Tuhan

Ditanya sekiranya bimbang pekerjaannya mendedahkan diri dan anaknya kepada jangkitan wabak Covid-19, Nur Shafira berkata rasa takut itu perlu dilawan demi menyara keluarga.

Jelasnya, apa yang mampu dilakukannya waktu ini adalah berserah kepada tuhan agar dijauhi perkara tersebut.

Beliau dan anaknya berusaha mengamal jagaan keselamatan dan kesihatan dengan sentiasa memakai topeng muka, membasuh tangan dan menggunakan cecai nyahkuman.

“Semua orang takut nak fikir keselamatan tapi saya akan pastikan kesihatan saya makan, rehat secukupnya, dan sentiasa ikut langkah yang diwajibkan

“Jadi kalau tanya saya, saya tidak ada rasa takut cuma berserah pada Allah dan cuba fikir positif.

“Kalau fikir takut semua tak boleh tak jadi kerja juga. Jadi macam mana nak dapat pendapatan,” katanya.

Kerajaan melanjutkan tempoh perintah PKP sehingga 14 April bagi mengelak gelombang ketiga jangkitan yang lebih besar.

Setakat semalam, 217 lagi kes baharu dikesan menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 3,333.

Daripada jumlah itu, 827 pesakit sembuh, atau bersamaan 24% daripada keseluruhan kes.

Setakat semalam juga, tiga kes kematian baharu dicatatkan menjadikan keseluruhan korban kini 53 orang. – 4 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen