3 sektor paling teruk terjejas kerana Covid-19


Ragananthini Vethasalam

Kumpulan perusahaan kecil dan sederhana berkata sektor pembuatan, peruncitan dan pelancongan paling teruk terjejas kerana wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2020.

DALAM kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), paling teruk terjejas kerana Covid-19 adalah sektor pembuatan, peruncitan dan pelancongan, kata kumpulan industri.

Ahli Jawatankuasa Kebangsaan Dewan Perniagaan Cina Bersekutu dan Industri Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong memberitahu The Malaysian Insight yang PKS sektor pembuataan akan terjejas teruk kerana cukai jualan 10%.

“Kebanyakan pemain sektor pembuatan di Malaysia adalah PKS.

“Jika anda keluarkan atau proses (produk), awak perlu caj 10%. Jadi, saya rasa ramai pengeluar akan terjejas.

“Saya gesa kerajaan untuk tangguh SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) untuk tempoh ini,” kata Koong yang juga pengerusi Jawatankuasa PKS.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang pula berkata sektor peruncitan dan pelancongan juga akan terjejas teruk.

Pelancongan “lumpuh sepenuhnya” kerana ketiadaan pelancong asing dan peruncitan terjejas teruk kerana penurunan perbelanjaan disebabkan perintah kawalan pergerakan.

Presiden Dewan Perusahaan Asean Moehamad Izat Emir pula berkata kebanyakan perniagaan kecil akan terjejas teruk termasuklah penjaja dan pemandu teksi.

“Bila awak tak dibenarkan keluar, sama sahaja macam mati,” katanya.

Izat bagaimanapun memuji langkah kerajaan mengurangkan kesan wabak kepada ekonomi dengan pakej rangsangan RM250 bilion yang diumumkan pada 27 Mac lalu.

Masalah aliran tunai

Satu tinjauan dalam talian dibuat Persatuan PKS Malaysia mendapati hanya 33% responden mempunyai cukup aliran tunai untuk bertahan pada Mac, dan hanya 37.8% boleh bertahan sehingga April 2020.

Kajian dibuat dengan kerjasama Bizsphere dengan 15,627 responden PKS.

Koong dan Kang berkata sewa tinggi dan gaji adalah penyumbang terbesar masalah aliran tunai.

“Semua perlu bayar sewa dan gaji tinggi,” kata Kang, sementara Koong berkata dua perkara itu adalah perbelanjaan tetap.

“Sewa dan upah membentuk 50% perbelanjaan,” kata Koong. – 5 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen