KAWALAN kumpulan elit ke atas dasar ekonomi negara ini adalah punca peningkatan jumlah rakyat meninggalkan Malaysia, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Beliau mengatakan orang kaya mempunyai hubungan yang “sangat tidak adil” dengan kerajaan, kerana mereka mempunyai lebih banyak akses kepada pentadbiran berbanding rakyat biasa Malaysia.
“Orang kaya mempunyai akses kepada kerajaan, sedangkan kelas menengah tak banyak. Kita dalam situasi yang sangat sukar,” katanya pada Malaysia Freedom Summit yang membincangkan kebebasan negara di Petaling Jaya hari ini.
Santiago mengatakan ramai rakyat Malaysia bergelut menyediakan kehidupan yang baik kepada keluarga mereka.
“Saya ada seorang ibu tunggal datang ke pejabat. Katanya dia kematian suami dan tiada simpanan. Dia terpaksa berhenti menghantar empat anaknya ke sekolah kerana tak mampu nak bayar tambang bas.
“Siapa hendak tolong mereka? Jawapan yang kami dapat adalah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Bagaimanapun, BR1M tidak mampu selesaikan masalah sebegini. Apa yang kita perlukan adalah perubahan struktur (pentadbiran dan masyarakat),” kata Santiago menambah yang kesatuan sekerja, persatuan dan masyarakat perlu bekerjasama bagi memastikan rakyat mampu mengekalkan dan menggunakan hak mereka bagi menangani isu menyentuh kehidupan mereka dalam negara ini.
Persidangan itu yang diadakan setiap tahun sudah masuk tahun ketiga dianjurkan Institute for Leadership and Development Studies.
Pengarah Program Islamic Renaissance Front Ehsan Shahwahid berkata kejayaan mengadakan persidangan untuk membincangkan kebebasan negara adalah satu bentuk kebebasan dan perkara ini sukar berlaku tiga dekad lalu.
“Dahulu anda perlukan permit untuk bercakap dengan lebih daripada empat atau lima orang. Jika tidak, ia dianggap perhimpunan haram.
“Ada kemajuan besar sejak 30 tahun lalu.”
Bagaimanapun, katanya Malaysia kelihatan berundur ke belakang dalam aspek “kebebasan budaya” terutama sekali apabila melibatkan soal agama.
“Ada lebih kebebasan ketika itu dalam buku, penulisan, hasil seni, filem. Ada rasa keterbukaan apabila menyentuh soal budaya, tetapi ketika kita bergerak ke depan menjadi negara lebih moden, wujud lebih banyak halangan berkaitan soal budaya dan agama.”
Katanya, kelompangan pendidikan yang mengajar hubungan kuasa antara agama dan politik serta peningkatan pemusatan pentadbiran negara menyumbang kepada sekatan kebebasan dalam budaya dan agama. – 18 November, 2017.
Komen