Tiada caj RM1 keluar duit di mesin ATM, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Kerajaan mengecualikan caj RM1 bagi pengeluaran duit di mesin ATM untuk mengelak orang ramai beratur panjang di kaunter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2020.

KERAJAAN akan mengecualikan caj pengeluaran tunai sebanyak RM1 di semua mesin ATM untuk menggalakkan lebih banyak penggunaannya agar orang ramai tidak bertumpu di kaunter juruwang.

Pengecualian ini, mulai Isnin akan dilaksanakan sehingga perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata langkah ini diambil kerana masih ramai menggunakan perkhidmatan juruwang apabila mengeluarkan wang bagi mengelak membayar RM1, katanya.

“Kami difahamkan ramai yang masih menggunakan perkhidmatan juruwang di bank, kerana isu mesin ATM yang mengenakan bayaran RM1 setiap kali membuat pengeluaran tunai.

“Oleh itu, melalui Kementerian Kewangan, kerajaan memutuskan semua institusi kewangan dan PayNet akan mengecualikan caj RM1 di semua ATM menggunakan MEPS,” kata Ismail Sabri semasa sidang akhbar hariannya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengawasi jarak sosial setiap masa. – 3 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen