Perdana menteri terima RM4.6 juta untuk Tabung Covid-19 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima sumbangan daripada enam syarikat sebagai tanda sokongan kepada kerajaan untuk tangani wabak Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM4.6  juta untuk Tabung Covid-19 daripada empat syarikat, menjadikan jumlah terkumpul wang tunai tabung itu sebanyak RM19.52 juta setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) Zainal Abidin Ahmad mewakili Perodua menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2 juta kepada perdana menteri.

Sapura Holdings Sdn Bhd yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahril Shamsuddin juga menyampaikan sumbangan RM1 juta.

Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd pula menyumbang sebanyak RM1 juta dan sumbangan syarikat itu disampaikan kepada Muhyiddin oleh Pengarah Eksekutifnya Ng Lee Tieng.

Kwong Wah Yit Poh Press Berhad yang diwakili Penolong Ketua Editornya Jimmy Ng pula menyumbang sebanyak RM600,000.

Pada majlis sama Muhyiddin turut menerima sumbangan Kumpulan RHB Bank Berhad sebanyak RM1 juta yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu Khairussaleh Ramli.

Sumbangan wang tunai RHB dikreditkan dalam Tabung Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain wang tunai, perdana menteri turut menerima sumbangan dalam bentuk peralatan kesihatan iaitu 20  unit ventilator bernilai RM3.9 juta daripada Mah Sing Group Berhad.

Sumbangan Mah Sing Group disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Leong Hoy Kum.

Replika cek sumbangan wang tunai dan ventilator disampaikan kepada perdana menteri di bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. 

Sumbangan yang diterima dari keenam-enam syarikat pada hari ini ialah sebagai tanda sokongan kepada kerajaan dalam menangani wabak Covid-19. – Bernama, 3 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen