PAS beri BN menang mudah dengan lawan 3 penjuru, kata Dr Mahathir


Muzliza Mustafa

PAS akan memberi Barisan Nasional (BN) kemenangan mudah jika ia terus memaksa pertandingan tiga penjuru dengan parti Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad.

“Ya, nampaknya… ia seperti membantu BN. Ini akan memastikan kemenangan BN. Dalam erti kata lain, mereka menyebelahi BN,” kata Dr Mahathir.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, pada muktamar tahunan parti Islam itu di Alor Setar, ia bersedia bergerak sendiri sekiranya pilihan raya umum diadakan, selepas ia menolak Bersatu.

Semasa muktamar PAS, Hadi berkata parti itu akan membentuk satu pakatan dengan kumpulan lain.

Katanya, PAS akan mara ke hadapan sendiri dengan “blok ketiga”, yang dipanggil Gagasan Sejahtera, untuk menarik pengundi Islam dan bukan Islam.

“PAS dan sekutunya dalam blok ketiga melalui Gagasan Sejahtera akan mengukuhkan pakatan dengan penyertaan orang ramai, pemimpin masyarakat sivil, bekas pegawai kerajaan dan pertubuhan lain,” katanya dalam ucapan dasar pada perasmian muktamar ke-63 seperti dipetik The Star.

PAS tidak mengendahkan Bersatu dan terus melancarkan serangan terhadap sekutu PRU13 mereka, PKR dan DAP.

Namun begitu, Dr Mahathir berkata PH masih yakin mereka boleh memenangi hati pengundi Melayu-Islam, walaupun tanpa PAS.

“Jika kita lihat bilangan orang Melayu menghadiri perhimpunan PH, ia mungkin mencecah antara 12,000 sehingga 15,000.

“Kami juga menyaksikan sebahagian besar orang Melayu yang datang kebanyakannya ahli Umno. Ia menunjukkan orang Umno juga berminat dengan kami. Itulah sebabnya kami yakin akan menang.”

Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang lain, seperti Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, antara lain, menghadiri mesyuarat tiga jam hari ini.

Parti pembangkang di bawah PH bersedia bertanding secara solo pada PRU14 jika Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak permohonan mereka mendaftarkan PH.

“Kami akan bertanding sebagai parti solo dengan satu manifesto jika RoS menolak permohonan kami,” kata Wan Azizah.

Beliau berkata pengundi bijak dan tidak akan keliru walaupun parti pembangkang tidak bertanding di bawah satu logo.

Percubaan sebelum ini untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat, gabungan dahulu, dengan RoS tidak berjaya. – 30 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Come on PAS. Tetapkan pendirian, utamakan Rakyat! Dengar apa yg Rakyat mahu. Jgn bersubahat kalau dh terbukti sahih. Rakuat akan sokong PAS kalau perjuangan betol kembali.

    Dimuat naik 9 tahun yang lalu oleh Jimmy Jimmy · Ulasan