MASYARAKAT Orang Asli di Ulu Geruntum, Gopeng memohon bantuan segera daripada kerajaan kerana bekalan makanan mereka hanya mampu bertahan selama seminggu susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Suku Semai yang menetap di tujuh kampung di Gopeng yang mana setiap daripadanya mempunyai kira-kira 100 keluarga.
Kebanyakan mereka menyara hidup dengan bekerja di ladang durian, kilang dan sebagai pencuci di pusat peranginan berhampiran.
Bagaimanapun, mereka memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan daripada mereka hilang kerja susulan pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Dengan perkampungan dan pekan Gopeng yang dikenakan kawalan pergerakan, mereka tiada tempat untuk menjual hasil hutan.
“Ini bermakna, kami tidak ada wang untuk membeli bekalan, walaupun kami boleh ke pekan,” kata seorang penduduk Wah Sona kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, bekalan makanan mereka hanya bertahan sehingga hujung minggu ini dan berharap pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyediakan keperluan kepada Orang Asli akan sampai kepada mereka.
Minggu lalu Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM25 juta kepada warga emas, kanak-kanak di rumah kebajikan, golongan kurang upaya, gelandangan dan masyarakat Orang Asli.
Menurut beliau, golongan ini akan dibantu menerusi kerjasama kerajaan dengan kumpulan masyarakat sivil dan usahawan sosial untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan keperluan peribadi dan tempat perlindungan yang perlu.
Wah Sona berkata, kira-kira 20 warga emas menerima bantuan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

“Mereka perlu adil. Kalau mahu beri bantuan mereka perlu beri semua,” katanya.
“Tetapi apa yang mereka berikan tidak cukup. Lima kilo beras, satu kilo tepung gandum, satu paket bihun dan satu botol kecil minyak masak, yang mungkin hanya bertahan seminggu.”
Beliau berharap kerajaan dapat menyediakan sekurang-kurangnya 10 kilogram atau 15 kilogram beras serta barangan lain kepada penduduk yang memiliki keluarga besar.
Mengenai kesihatan, Wah Sona berkata setakat ini tiada penduduk yang dijangkiti koronavirus.
“Terdapat sebuah klinik di Kampung Melayu yang terletak kira-kira 2 kilometer dari kampung kami. Jika ada yang sakit mereka boleh ke sana kerana ia buka setiap hari.” katanya.
PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac hingga 14 April sebagai usaha unntuk mencegah penularan wabak Covid-19.
Setakat semalam wabak itu meragut 50 nyawa dengan 3,116 jangkitan.
Orang Asli di Ulu Geruntum sebelum ini pernah mendapat perhatian media susulan tindakan mereka yang cuba mempertahankan tanah adat mereka daripada diceroboh untuk pembinaan empangan hidroelektrik.
Penduduk kampung berkenaan menentang projek hidroelektrik yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Projek berkenaan membabitkan pembinaan 31 empangan mini di sepanjang tiga batang sungai, termasuk Sungai Kampar.
Mereka memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Perak kerana meluluskan pembinaan empangan itu, yang mana menurut mereka akan menjejaskan tanah mereka.
Bagaimanapun menurut Wah Sona, sejak PKP dikuatkuasakan 18 Mac lalu, tiada seorang pun kontraktor kelihatan di kawasan itu. – 3 April, 2020.
Komen