Pemuzik jalanan terpaksa buat persembahan dalam talian kerana PKP


Zaim Ibrahim

Pemuzik jalanan, Izmarezam Mhd Aziz atau Tam terpaksa beralih ke siaran langsung dalam Facebook kerana tempahan nyanyiannya dibatalkan. – Gambar Facebook, 3 April, 2020.

PEMUZIK jalanan terpaksa beralih ke pentas siaran langsung dalam talian kerana hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa 18 Mac lalu.

Salah seorang daripadanya anak kelahiran Pulau Pinang, Izmarezam Mhd Aziz, 40, atau Tam yang beralih ke siaran langsung dalam Facebook kerana tempahan nyanyiannya dibatalkan.

Jika dulu, beliau dapat menyediakan bekas untuk mengutip bayaran daripada kalangan penonton di jalanan.

Kini beliau terpaksa mengiklankan nombor akaun banknya di Facebook sewaktu membuat persembahan solo secara langsung.

“Saya ada persembahan tetap di beberapa tempat di Kuala Lumpur. Setiap bulan saya akan buat persembahan di situ dengan pendapatan lingkungan RM4,000 sebulan.

“Tapi, sejak PKP saya tidak langsung boleh buat persembahan yang akibatkan pendapatan bulanan terjejas teruk,” jelasnya kepada The Malaysian Insight.

Idea untuk membuat persembahan secara langsung itu timbul selepas beliau melihat beberapa video di Facebook dan Youtube.

“Persembahan ini lebih kepada suka-suka, tetapi saya sengaja letak nama dan nombor akaun jika ada penonton yang mahu beri sumbangan.

“Alhamdulillah, baru tiga kali bersiaran secara lansung, saya mendapat  ribuan penonton dan jumlah sumbangan pun memuaskan, bolehlah bertahan dua tiga hari.

“Nyanyi di Facebook ini macam kita busking. Ada hari ada duit, ada hari dapat lebih, ada hari tak dapat langsung,” tambahnya.

Tam membuat persembahan secara akustik dalam siaran langsung itu. Biasanya, persembahan dimulakan jam 5 petang memandangkan beliau perlu menjaga empat anaknya masa waktu siang.

Bagi Tam, pada waktu sekarang, bantuan daripada mana-mana pihak bukanlah pilihan utamanya.

“Selagi boleh kayuh (usaha), kita kayuh. Bantuan-bantuan ini, pilihan terakhir saya.

“Saya guna Facebook untuk keuntungan sendiri dan dalam keadaan sekarang, kita perlu satu kaedah yang cepat untuk jana pendapatan,” katanya.

Seorang lagi penyanyi jalanan yang aktif menyanyi di beberapa lokasi sekitar ibu kota, Akmal Hishan Baharom atau Akmal Tim Hishan turut beralih ke Facebook.

Bagi Akmal, pelaksanaan PKP tidak boleh menjadi halangan kepada anak seni untuk terus berkarya dan menghiburkan orang ramai.

“Sebelum ini (apabila) tengok filem yang bertemakan wabak atau orang ramai kena kuarantin, saya sudah terfikir bagaimana nak menyanyi jika perkara itu berlaku dalam realiti.

“Daripada situ lagi dah terfikir, tapi sejak PKP barulah pertama kali saya buat persembahan secara langsung.

“Saya rasa ada keperluan untuk terus menghiburkan orang, ada yang tertekan duduk di rumah jadi saya menyanyi hiburkan mereka dan terbuka jika ada orang yang buat permintaan lagu,” katanya.

Katanya, beliau menyiarkan nama serta nombor akaunnya untuk membolehkan mana-mana pihak membayar perkhidmatan hiburan itu dan bukan untuk mengutip derma.

“Saya belum berkahwin, masih tinggal bersama ibu bapa, bapa pula sakit dan saya perlu terus cari wang.

“Saya letak nombor akaun bukan bermakna saya meminta derma. Ini lebih kepada memberi perkhidmatan seperti orang makan dan bayar.

“Kita nak bagi orang terhibur, bukan kita nak orang kasihan kita,” kata Akmal.

Sepanjang tempoh PKP, tiga jemputan nyanyian termasuk beberapa majlis perkahwinan dibatalkan, menyebabkan hasil yang sepatutnya boleh mencapai RM 3,000 gagal diperoleh.

Pemuzik genre punk rock menghidangkan pelbagai jenis lagu sewaktu persembahannya untuk memenuhi selera penonton.

Akmal yang mula menghibur di jalanan sejak lapan tahun itu kini hanya mampu bersiaran secara langsung dari bilik tidurnya dengan kelengkapan minimum.

“Setakat ini, baru dua kali saya menyanyi secara penstriman langsung dan lima lagu adalah rakaman. Lagu-lagu itu adalah hasil permintaan orang dan sekadar untuk hiburkan orang.

“Jumlah tontonan pun okaylah, 200 lebih. Saya tidak letak sasaran berapa ramai jumlah tontonan sebab yang penting, saya nak pastikan orang terus tertarik untuk lihat persembahan saya.

“Kita tak perlu fikir sangat tentang duit, Tuhan yang bagi duit, bagi rezeki tidak kira apa usaha kita buat. Bagi saya, PKP ini hanya satu cabaran bagi kita semua,” katanya.

Kumpulan penyani jalanan sepertinya merupakan antara golongan yang paling teruk terjejas sejak PKP dikuatkuasa pada 18 Mac, dan diteruskan hingga 14 April.

Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Malaysia Nancy Shukri sebelum ini mendedahkan pihaknya menerima 111 aduan sejak talian Covid-10 dibuka pada 19 Mac.

Katanya, kalangan penggiat seni termasuk persatuan artis serta buskers itu menghubungi kementerian untuk mendapatkan maklumat mengenai pakej rangsangan ekonomi.

Seorang lagi yang turut memilih untuk membuat persembahan dalam talian ialah seorang pensyarah seni persembahan dan filem Universiti Sunway, Azmyl Yunor.

Katanya, beliau berbuat demikian kerana PKP menjejaskan perjalanan karier muziknya sehingga dua hingga tiga jemputan nyanyian dibatalkan.

“Saya mula lihat ada kawan-kawan penyanyi buat persembahan secara langsung, daripada situ tengok menarik juga dan anggap ini satu peluang untuk cuba kita menyanyi.

“Pada 21 Mac lepas, saya nyanyi buat pertama kali di Facebook secara langsung selama dua jam.

“Tetapi saya tidaklah letak nombor akaun sebab tak mahu ganggu periuk nasi kawan-kawan penyanyi yang lebih memerlukan, ada antara mereka lebih gawat waktu PKP ini,” katanya.

Katanya, beliau antara pemuzik yang dijemput menyertai persembahan langsung dalam talian Festival Duduk Rumah bersama beberapa pemuzik lain.

“Kami semua buat persembahan dari rumah menggunakan aplikasi Zoom dan syukur sambutan sangat menggalakkan,” kata pemuzik genre folk punk rock itu.

Festival Duduk Rumah atau FesDuRu adalah satu platform mengumpulkan beberapa artis untuk buat persembahan sambil mengumpul dana.

Dana itu kemudiannya diserahkan kepada Persatuan Mercy Malaysia untuk membantu petugas-petugas hospital yang kini sedang berperang melawan Covid-19.

Kata Azmyl, FesDuRu berjaya mengumpul dana sebanyak RM11,000 baru-baru ini, satu angka yang melebihi sasaran asal mereka.

“Bersama Festival Duduk Rumah saya telah nyanyi sebanyak dua kali dan sekarang, saya rancang untuk nyanyi secara lansung setiap Sabtu,” tambahnya.

Namun untuk artis seperti Mohd Haizad Mohd Yusoff atau Sidh Haizad Yusoff, 33, menyanyi di Facebook secara langsung merupakan cara kreatif sebagai punca pendapatan.

Katanya, walau empat persembahan dibatalkan dan menjejaskan pendapatan hingga RM1,000, beliau tidak menoleh kebelakang dengan terus menyanyi secara akustik di Facebook.

“Persembahan secara langsung di Facebook bukan perkara yang baharu tetapi di Malaysia, ramai pemuzik buat untuk tambah pendapatan dan berhibur.

“Ini juga satu cara hiburkan diri sendiri,” katanya yang berjaya mengumpul ratusan penonton selepas membuat persembahan dua kali di Facebook secara langsung.

Sebelum ini, beliau dapat bergiat dalam empat kumpulan yang memainkan genre muzik berbeza dan turut membuat persembahan melakukan persembahan mengikut permintaan pihak penganjur.

Tapi kini beliau tiada pilihan selain membuat persembahan dalam talian untuk mengutip bayaran.

“Saya akan terus menyanyi secara langsung di Facebook. Ini bukannya unutk minta derma dan jika ada orang beri sumbangan, itu pun satu rezeki kepada saya.

“Saya menyanyi lebih kepada tambah kreativiti dan kandungan di Facebook sendiri, dan sekarang saya rancang nak kerjasama dengan kumpulan lain untuk terus bergiat aktif menyanyi dalam tempoh PKP,”  katanya. – 3 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen