BEKALAN roti dilihat berkurangan di kebanyakan kedai di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan lebih dua minggu lalu.
“Biasanya seorang hanya beli satu roti,” kata Hilmi yang menguruskan sebuah kedai di Shah Alam, Selangor.
“Bagaimanapun sejak PKP pelanggan ambil dua, kadang-kadang tiga roti,” katanya sambal menambah roti cepat habis sebaik sahaja lori penghantaran menghantar bekalan.
“Saya tidak bersetuju dengan pembelian seperti ini tetapi apa yang boleh mereka lakukan? Apabila anda ada anak yang tinggal di rumah sepanjang masa dan perlu memberi mereka makan, roti adalah makanan murah, senang dan berkhasiat,” katanya.
PKP yang pada awalnya dikuatkuasakan selama dua minggu kini dilanjutkan sehingga 14 April bagi memecahkan rantaian jangkitan Covid-19 yang melibatkan 3,116 rakyat Malaysia dan mengorbankan 50 nyawa.
Pakar dalam industri makanan memberitahu The Malaysian Insight bekalan makanan mencukupi tetapi tidak semuanya akan sampai kepada pelanggan pada masa yang sepatutnya dan pada harga yang konsisten sepanjang PKP.
Mereka berkata kekurangan bekalan makanan buat sementara waktu mungkin berlaku kerana pengguna perlu menyesuaikan diri dengan fakta bahawa pasar raya dan kedai runcit kini hanya dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam di bawah fasa 2 PKP.
Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Chong Tek Keong memberitahu The Malaysian Insight bahawa pengguna kini membanjiri pasar raya dan pasar basah selepas kerajaan menutup pasar tani, pasar pagi dan pasar malam yang sebelum ini menjadi lokasi bekalan makanan kawasan setempat.
“Ladang masih menghasilkan sayur dan ayam. Lori mengangkut hasil kepada pemborong kini dibawa melalui sekatan jalan PKP lebih cepat dari seminggu lalu.
“Lori sayur masih melintasi sempadan Thailand walaupun negara berkenaan dikenakan perintah berkurung,” katanya.
Kilang dan pengilang masih memproses beras, roti dan biskut serta menghantarnya ke pasar raya, kata Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan Persatuan Malaysian Bakery, Biscuit, Confectionary dan Mee Merchants Association.
Bagaimanapun PKP telah mengubah corak pengunaan biasa dan mengehadkan bilangan operasi kedai di mana orang membeli makanan mereka menyebabkan berlakunya kekurangan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Ini menjelaskan mengapa walaupun pembuat roti menghasilkan kapasiti penuh, rak pasar raya kosong hampir setiap hari,
Di tempat tertentu seperti di Sabah bekalan beras terjual dengan cepat, kata pegawai Bernas East Malaysia Jasnih Daya.
Ini kerana kumpulan masyarakat membeli secara pukal untuk diberikan kepada penduduk berpendapatan rendah yang kehilangan gaji harian mereka akibat penutupan premis perniagaan disebabkan oleh PKP, kata Jasnih.
Pakar pemakanan Prof Fatimah Arshad memberitahu The Malaysian Insight apabila penduduk terbiasa dengan sistem normal pasaran, corak mereka akan berubah dan ini sebabnya terjadi pembelian panik dan rak kosong.
“Ketua keluarga yang prihatin mahu memberi makan kepada tanggungan mereka tetapi sistem bekalan tidak boleh bertindak dengan cepat dan menghantar mengikut masa,” kata Fatimah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
“PKP mengganggu rantaian bekalan makanan dan sekatan jalan raya mengganggu jadual penghantaran, jadi terdapat ketidaksesuaian dari segi masa dan ini mewujudkan defisit jangka pendek yang mendorong kenaikan harga,” katanya. – 3 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen