UJIAN jangkitan Covid-19 di Malaysia adalah pada kadar yang boleh diterima mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 43,406 ujian dijalankan sehingga ke hari ini dan 3,116 atau 7.2% adalah positif.
“Menurut penanda aras baharu WHO akan ada satu kes dikesan daripada 10 ujian yang dijalankan,” katanya pada sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.
Beliau berkata Malaysia sudah memenuhi piawaian WHO berkenaan ujian untuk mengesan coronavirus dalam kalangan masyarakat.
Di bawah piawaian WHO jika bilangan kes positif yang dikesan adalah rendah walaupun banyak ujian dijalankan itu bermakna masih ada banyak kes yang tidak dapat dikesan dalam komuniti.
Beliau berkata 7.2% hampir dengan purata 10% yang ditetapkan oleh WHO.
Sementara itu Noor Hisham berkata kit ujian pengesanan pantas antigen dari Korea Selatan mempunyai kadar ketepatan 56.6%.
Pada masa ini terdapat 43 makmal yang menjalankan ujian dan lima lagi akan dimasukkan dalam senarai.
Beliau berkata makmal baharu itu masih belum mengoptimumkan kapasiti mereka. – 2 April, 2020.
Komen