Hadi Awang dilantik duta khas bertaraf menteri


Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah bertaraf menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai duta khasnya ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Dalam pengumumannya, Muhyiddin menyenaraikan kelayakan ahli Parlimen Marang itu, antaranya sebagai bekas naib presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.

Katanya, Hadi juga memegang ijazah sarjana sains politik Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Beliau pernah tersenarai sebagai antara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies,” katanya.

Muhyiddin menyiarkan pengumuman itu di Facebook. 

Sokongan PAS membolehkan Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan dan membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan Gabungan Parti Sarawak pada akhir Februari.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu turut melantik tiga ahli Parlimen PAS menjadi menteri dan lima lagi sebagai timbalan menteri dalam kabinetnya.

Ia menggantikan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang tumbang selepas ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan.

Ia ekoran tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan tersebut bagi menghalang presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen