Covid-19 ragut 5 lagi nyawa


Ragananthini Vethasalam

Petugas membersihkan kawasan sekitar Menara City One di Kuala Lumpur. Sebanyak lima lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 50 kes. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 2 April, 2020.

JUMLAH kematian Covid-19 mencecah 50 kes dengan lima kematian baharu dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiga daripada lima kes adalah di Johor.

Sementara itu 208 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 3,116.

Sementara itu seramai 122 pesakit sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital. Ini membawa jumlah pesakit pulih seramai 767. 

Daripada mereka yang menerima rawatan, 105 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 54 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada lima kematian baharu, yang pertama seorang lelaki berusia 37 tahun dengan sejarah penyakit kronik dan imuniti yang rendah.

Kematian kedua ialah seorang lelaki berusia 78 tahun mempunyai sejarah tekanan darah tinggi dan gout.

Seorang lagi berusia 85 tahun dengan sejarah hipertensi, diabetes dan sakit jantung.

Yang keempat berusia 61 tahun merupakan kenalan rapat pesakit Covid-19 manakala yang kelima berusia 69 tahun.

Dr Noor Hisham yang mengumumkan kes baharu dan kematian pada sidang akhbar hari ini berkata kadar kematian Malaysia sebanyak 1.6 peratus daripada jumlah kes masih rendah berbanding keadaan di bahagian lain di dunia.

Beliau berkata kira-kira 80% daripada jangkitan bermula sebagai kes tanpa gegala atau hanya dengan gegala ringan manakala sekitar 20% memerlukan perhatian perubatan di mana 5% adalah kes kritikal.

“Jika kita dapat mendatarkan lengkungan bermakna kita dapat menurunkan jumlah kes,” katanya. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen