SERAMAI 4,189 individu ditangkap setakat ini manakala 1,449 individu didakwa di mahkamah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.
“Daripada mereka yang didakwa ada yang sudah dihukum dan saya bukan hanya bercakap mengenai denda tetapi hukuman penjara.
“Mereka adalah orang-orang yang degil,” katanya pada sidang akhbar harian mengenai keselamatan nasional Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata polis membuat 562 tangkapan semalam berbanding 583 ditangkap pada Selasa.
Beliau berkata pengurangan jumlah tangkapan adalah satu petanda baik.
“Jika trend penurunan ini menunjukkan pematuhan rakyat kepada perintah, makai a merupakan perkara yang baik dan ditunggu-tunggu oleh pihak kerajaan.
“Ini sesuatu yang dinantikan kerana ia bermakna orang ramai kini tahu betapa pentingnya untuk mengikut arahan tinggal di rumah,” katanya.
Beliau berkata terdapat kes di mana seorang pesalah dihukum penjara lapan bulan bukan hanya kerana melanggar PKP tetapi menyerang seorang pegawai polis.
Katanya sekatan jalan raya dan pemeriksaan kereta akan diteruskan.
Sebanyak 380,342 kenderaan ditahan di sekatan jalan raya sementara 3,791 premis perniagaan diperiksa.
Pihak berkuasa juga menjalankan 23,256 pemeriksaan mengejut, katanya tanpa menjelaskan di mana pemeriksaan ini dijalankan. – 2 April, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen