GLC perlu proaktif bantu rakyat harungi kesukaran Covid-19, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa sidang video bersama GLC di pejabat beliau hari ini. – Gambar Facebook, 2 April, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin meminta semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membantu rakyat mengatasi kesukaran dihadapi mereka semasa pandemik Covid-19.

Beliau juga berkata sudah meminta GLC membantu kerajaan merangka strategi ekonomi yang komprehensif dalam memerangi virus itu.

Beliau memberitahu mereka semasa sidang video dengan enam GLC utama bagi membincangkan hal ehwal ekonomi negara pada pagi ini.

“Peranan GLC penting dalam membantu kerajaan merangka strategi ekonomi yang komprehensif semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya juga telah meminta GLC memainkan peranan yang lebih proaktif serta menjadi contoh kepada syarikat atau industri lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu rakyat berdepan kesukaran semasa wabak Covid-19,” kata perdana menteri dalam Facebook rasminya.

Mesyuarat pagi ini disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tunku Alizakri Raja Alias; CEO PNB Jalil Rasheed; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Shahril Ridzuan; CEO KWAP Syed Hamadah Syed Othman; CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Nik Amlizan Mohamed; dan CEO Lembaga Tabung Haji Nik Mohd Hasyudeen.

Muhyiddin minggu lalu mengumumkan pakej rangsangan fiskal sebanyak RM250 bilion untuk membantu individu dan perniagaan mengatasi masalah disebabkan oleh pandemik.

Terdahulu pada Februari, kerajaan mengumumkan pakej bernilai RM20 bilion.

Tujuan kerajaan bagi memastikan kumpulan B40 dan M40 tidak terjejas teruk sepanjang tempoh ini.

Walaupun dengan pengumuman pakej itu, perusahaan kecil dan sederhana, termasuk dari sektor makanan dan minuman, berkata mereka masih memerlukan lebih banyak bantuan untuk terus bertahan.

Kerajaan mengenakan PKP pada 18 Mac, yang pada awalnya sehingga 31 Mac, bagi membendung penyebaran Covid-19. Bagaimanapun, ia dilanjutkan sehingga 14 April. – 2 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen