KETIKA banyak hotel lain dikatakan mengenakan larangan bertudung kepada pekerja wanita Islam, perkara sebaliknya pula berlaku di hotel kumpulan De Palma.
De Palma mengenakan syarat wajib kepada pekerjanya yang beragama Islam untuk memakai tudung kerana ia selari dengan status hotel itu sebagai hotel patuh syariah.
“Syarat bertudung ini memang wajib pada semua kakitangan hotel De Palma yang beragama Islam dan syarat ini termasuk kepada mereka beragama Islam tapi tidak bertudung. Mereka diwajibkan pakai tudung di tempat kerja.
“Dan ia tidak hanya terhad di kaunter hadapan tapi kepada semua kakitangan De Palma beragama Islam,” kata pengurus De Palma Ampang, Rahmat Nawi kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun kata beliau, larangan itu tidak terpakai kepada pekerja wanita bukan Islam di hotel tersebut.
Isu larangan bertudung bagi wanita Islam di negara ini hangat diperkatakan selepas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengatakan peraturan itu merupakan sebahagian daripada polisi dan prosedur operasi standard (SOP) hotel antarabangsa.
Kenyataan daripada MAH itu merupakan reaksi daripada pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) berkaitan diskriminasi wanita Islam yang berkerja di sektor perhotelan.
Namun, larangan itu dibidas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz yang mengatakan SOP seperti itu tidak wujud dan sengaja diada-adakan.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Noh Omar pula akan mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik balik lesen mana-mana hotel yang melakukan diskriminasi tersebut.
Bilik khas hanya untuk muslim saja
Isu larangan tudung itu juga mendapat tentangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hotel De Palma, Dr Azaharul Hisham Sulong Ahmad yang berkata beliau bakal menyemak semula keanggotaannya dalam MAH.
Menerusi kenyataannya semalam beliau berkata larangan tersebut berbentuk diskriminasi dan tidak sesuai diguna pakai hotel di Malaysia selaku sebuah negara yang majoriti penduduknya Islam.
Kumpulan hotel De Palma adalah antara pelopor hotel di negara ini yang berkonsepkan patuh syariah. Terletak di tiga lokasi, Ampang, Shah Alam dan Kuala Selangor, hotel De Palma mendapat status patuh syariah sejak lapan tahun lepas. Rangkaian hotel De Palma di Ampang juga dikatakan satu-satunya hotel di Malaysia yang diberi keizinan untuk mengadakan solat Jumaat.
Malah, hotel De Palma Ampang juga menyediakan 29 bilik di aras enam premis itu khusus untuk tetamu beragama Islam. Di tingkat ini, bacaan Al-Quran diperdengarkan sepanjang masa di koridor dan turut dihiasi ayat Al-Quran serta setiap bilik dilengkapi sejadah, telekung dan senaskhah Al-Quran.
“Hotel De Palma ini juga menyediakan pakej bilik Islamik dimana pelanggan boleh meminta kita menyediakan air zam-zam dan biasa kalau hotel lain mereka meletakkan kacang tapi kita akan meletakan kurma di dalam bilik.
“Secara asasnya apa saja amalan sunnah Nabi kita cuba terapkan di hotel ini.”

De Palma buka peluang pekerja wanita Islam bertudung
Sementara itu The Malaysian Insight turut menemubual beberapa kakitangan De Palma Ampang.
Bagi Syahmi Shahidan, 26, meski baru sebulan bekerja di De Palma, beliau mengakui seronok dan selesa dengan persekitaran hotel tersebut.
“Memang seronoklah dan persekitaran kerja sesuai dengan saya yang bertudung, sebab kita tak perlu hidangkan arak atau perlu buka tudung (dan) pakai seksi.
“Bagi saya hotel De Palma ini memberi ruang kepada wanita Islam bertudung untuk bekerja di sektor hotel,” kata gadis itu yang mengakui mempunyai pengalaman disuruh membuka tudung oleh sebuah hotel terkemuka di negara ini.
“Ketika itu tiga bulan lepas, bila saya datang temuduga, mereka tanya kalau saya bekerja, saya kena buka tudung.
“Tapi sudah tentu saya tidak terima kerana saya yakin dengan rezeki Allah,”
Katanya larangan tersebut menyebabkan ramai rakannya yang bertudung memohon pekerjaan di luar negara.
“Sebab untuk kita yang bertudung terlibat dalam bidang sektor perhotelan, memang tidak ada pilihan sangat untuk berkerja.
“Pilihan kita terhad, dan sebab itu ramai rakan saya yang bekerja di hotel luar negara yang Islamik seperti di negara Timur Tengah.”
Seorang lagi pekerja De Palma, Che Zaharah Che Yah, 49, yang mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam bidang perhotelan mengakui mempunyai pengalaman terpaksa membuka tudung kerana tuntutan kerja.
“Sebelum ini saya bekerja di tiga hotel di Kuala Lumpur dan semuanya syarat untuk pekerja untuk tidak boleh pakai tudung.
“Jadi masa itu saya tidak punyai pilihan saya buka tudung tapi bila habis kerja saya akan pakai balik.”
Katanya sejak bekerja di De Palma pada 2001 dan apabila hotel itu menukar statusnya kepada hotel patuh syariah ia memberi kelegaan kepadanya.
“Di sini memang saya tidak perlu buka tudung dan sebagai orang Islam banyak kelebihan kerja di sini contoh kalau waktu sembayang kalau tempat lain kita tidak diberi masa selalu terkejar- kejar untuk tunaikan solat.
“Tapi di Hotel De Palma mereka beri masa untuk pekerjanya menunaikan solat.” – 18 November, 2017.
Komen