Penduduk Taman Desa minta SPRM siasat satu lagi projek kondo


Low Han Shaun

Ahli Gabungan Lindungi Taman Desa menunjukkan plot yang sepatutnya untuk kegunaan rekreasi awam, tetapi kini akan dibina kondominium 44 tingkat. – Gambar The Malaysian Insight, 18 November, 2017.

SELEPAS memfailkan saman berhubung projek kondominium di kejiranan mereka, penduduk Taman Desa kali ini mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pula satu lagi projek pembangunan 44 tingkat.

Jurucakap Gabungan Lindungi Taman Desa, Philip Pang berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak telus mengenai pelan bagi kondominium baharu yang akan dibina bersebelahan perumahan sedia ada, Armada Villa.

“Tidak ada makluman yang jelas mengenai pembangunan itu. Jika DBKL jujur, mereka sepatutnya maklumkan penduduk terlebih dulu. Ada pejabat pengurusan (kondominium) di sini yang membolehkan mereka sampaikan makluman.

“Tindakan mereka itu beri kami tanggapan yang ada unsur rasuah dalam perkara ini,” kata Phang kepada wartawan pada sidang media di Rumah Kelab Armada Villa di Taman Desa, hari ini.

Phang berkata kondominium setinggi 44 tingkat itu akan dibina di plot 1.3 yang sepatutnya bagi pembinaan taman permainan dan ini bercanggah dengan Kanun Tanah Negara kerana tapak projek itu dikhususkan bagi kegunaan “Perpustakaan dan Taman Awam”.

Penduduk melakukan kajian terhadap status tanah itu dan mendapati pewartaan untuk hak milik dipindahkan daripada DBKL kepada pemaju swasta.

Pemeriksaan lanjut dengan pusat sehenti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendapati kawasan itu akan dijadikan tempat pembangunan kondominium berkenaan.

“Penduduk Armada Villa percaya berlaku penyelewengan dalam projek ini. Persoalannya ialah kenapa DBKL menjual tanah untuk kemudahan awam kepada pemaju swasta,” kata gabungan itu dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, gabungan itu tidak menerima layanan baik ketika cuba bertemu dengan DBKL berhubung perkara itu pada 3 November selepas mengetahui sendiri tentang projek itu.

“Kami dapat tahu tentang pembangunan itu pada 20 Oktober. Pada 25 Oktober, DBKL beritahu kami mereka sudah laksanakan Peraturan 5, tetapi kami tidak pernah sebarang maklumat berkenaan pembangunan itu.”

Peraturan 5 Akta Perancang Wilayah Persekutuan memerlukan datuk bandar Kuala Lumpur merujuk kepada pemilik berdaftar tanah bersebelahan projek menerusi notis di akhbar atau pameran. Datuk bandar juga perlu mempelawa bantahan terhadap permohonan bagi pembangunan yang membabitkan pertukaran kegunaan tanah, pengezonan atau peningkatan kepadatan penduduk.

Syarat itu sebahagian daripada Peraturan Pindaan Pembangunan Perancang 1994, satu peraturan kecil di bawah Akta Perancang Wilayah Persekutuan 1982.

“Itu sebabnya kami bukan saja menghantar kes kepada SPRM, tetapi menyerahkan rayuan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia,” kata Phang.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan pemaju memohon tanah baharu untuk projek, di mana penduduk beberapa kejiranan di situ mula membantah pembangunan berlebihan di kawasan pinggir bandar.

Di Taman Desa, 11 penduduk menyaman DBKL kerana meluluskan projek pembinaan tiga blok kondominium, The Address di tanah rizab Tenaga Nasional Bhd.

Mereka juga membantah 12 lagi pembangunan berkepadatan tinggi di Taman Desa.

“Kami harap dapat mengadakan dialog dengan DBKL pada 26 November mengenai projek ini. Mereka sepatutnya melindungi kepentingan penduduk, dan jika mereka tidak berbuat demikian, apa gunanya ada mereka sebagai majlis tempatan kami,” kata Phang. – 18 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen