ADA jemaah tabligh yang diminta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menjalani ujian saringan Covid-19 berada di luar negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut Dr Noor Hisham, mereka antara 5,000 peserta yang masih belum tampil untuk diuji.
“Mereka berada di luar negara, jadi belum balik lagi. Kita tahu berapa ramai yang pergi dan kita akan cuba untuk mengesan mereka dengan bantuan pihak polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Isnin lalu, Dr Noor Hisham berkata kementerian masih cuba mengesan 5,084 peserta himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling bulan lalu untuk jalani ujian saringan Covid-19.
Beliau berkata kementerian bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti peserta tabligh berkenaan.
Dr Noor Hisham berkata sukar menentukan sama ada satu-satu kes ada kaitan secara langsung dengan perhimpunan tabligh.
“Contohnya, jika seseorang pergi ke masjid. Adakah (jangkitan) ada kaitan dengan kes ‘sporadic’ atau adakah dijangkiti di masjid.
“Kita dapati daripada indeks kes tabligh, terdapat lima generasi jangkitan.
“Contohnya, mereka dari kluster Masjid Sri Petaling terus menjangkit sehingga generasi kelima. – 1 April, 2020.
Komen